suria

Si Yew Ming yakin timba pengalaman dalam tenis Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Meskipun digandingkan di saat akhir dengan Joachim Johansson dalam kejohanan sulung tenis Terbuka Malaysia yang menawarkan hadiah US$1 juta (RM3.5 juta), pemain terkemuka Malaysia Si Yew Ming yakin akan dapat menimba pengalaman dan pendedahan yang sangat berharga.

"Sungguhpun masa agak suntuk, kami akan mencari jalan untuk berlatih bersama-sama sebelum perlawanan pusingan pertama undian utama pada Rabu," kata Yew Ming yang diberikan wildcard untuk bermain dalam undian utama beregu lelaki dengan pemain dari Sweden itu.

Johansson merupakan pemain yang mempunyai ranking ke-446 dunia dan mewakili negaranya dalam separuh akhir Piala Davis menentang Amerika Syarikat tahun ini.

Pasangan itu akan berdepan Marcelo Melo dari Brazil dan Andre Rezende dari Afrika Selatan dalam perlawanan pertama mereka.

Pada Sabtu, Yew Ming, seorang daripada tujuh pemain Malaysia yang beraksi dalam perlawanan kelayakan perseorangan, memberikan saingan sengit sebelum tunduk kepada pemain Poland, Mariusz Fyrstenberg 6-4, 5-7, 7-6.

"Saya banyak belajar perkara baru dengan bermain dalam kejohanan ini dan saya perlu memperbaiki skil permainan saya, terutamanya untuk memukul bola sekuat yang boleh," katanya. BERNAMA

Artikel Lain