suria

KL'09: Krishna perbaharu satu lagi rekod untuk emas kedua

KUALA LUMPUR: Atlet paralimpik harapan negara yang dilihat berpotensi untuk ke Sukan Paralimpik 2012 London, Krishna Kumar Haridas,semalam menambah satu lagi pingat emas apabila berjaya memperbaharui rekod bagi acara lumba 400m T38 (Palsi Serebrum) lelaki pada hari kedua Sukan Para Asean Kelima (KL'09) di sini semalam.

Krishna, 22, membuat catatan masa 59.83 saat untuk memadamkan rekod lamanya 60.12s yang dibuat di Sukan Para Asean Korat 2008. Pelari Filipina Sixto Ducay (62.92s) memenangi pingat perak manakala Sudarsono Jono Sigit dari Indonesia mendapat pingat gangsa (65.97s).

Emas pertamanya diperolehi menerusi acara lumba 100m T38 semalam, apabila beliau turut memecahkan rekod kejohanan dalam acara berkenaan.

Ketua jurulatih R. Jeganathan berkata beliau merasa gembira apabila program latihan empat bulan di bawah Majlis Sukan Nasional (NSC) sebelum KL09 banyak membantu Krishna untuk beraksi dengan cemerlang sehingga ini.

"Ini merupakan kali pertama Kumar berjaya membuat catatan kurang dari seminit. Kami pada mulanya menjangka Amir yang akan menguasai acara ini, tapi nampaknya program latihan awal berjaya membaiki catatan masa Krishna.

"Saya rasa dia sudah bersedia untuk Sukan Paralimpik Asia di Guangzhou tahun depan," katanya.

Krishna yang muncul buat kali pertama di arena antarabangsa pada Temasya Sukan Timur Jauh dan Pasifik Selatan untuk Orang Kurang Upaya (Fespic) Kuala Lumpur 2006, akan bertanding dalam acara 200m T38 lelaki esok, dalam pemburuannya mencari satu lagi pingat emas.BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain