suria

Presiden MOM: Shahidan sah cabar Tunku Imran

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim disahkan bertanding jawatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), mencabar penyandang jawatan Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Shahidan, yang merupakan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia, telah mengemukakan borang pencalonannya kepada panel bebas yang dilantik MOM yang telah menutup tempoh pencalonan pada 5 petang Rabu lepas, kata Norminshah Sabirin, salah seorang anggota panel bebas itu yang bertindak sebagai "Pegawai Pengurus" untuk mengurus, memerhati dan mengelola pemilihan itu.

Untuk jawatan Timbalan Presiden, penyandangnya Datuk Dr M. Jegathesan dicabar oleh Datuk Seri Dr Ibrahim Saad yang merupakan Naib Presiden MOM sekarang.

Untuk jawatan Naib Presiden pula, tiga daripada empat penyandang iaitu Prof Datuk W. Y. Chin, Datuk A. Sani Karim dan Datuk Roy Rajasingham akan ditentang oleh Prof Datuk Dr Zakaria Ahmad, M.P. Haridas dan Edwin Chong.

Satu lagi jawatan Naib Presiden khusus bagi wanita yang dipegang oleh Low Beng Choo, tidak akan dipertandingkan setelah Beng Choo tidak dicabar, katanya.

Beliau berkata, dua jawatan Penolong Setiausaha Kehormat dicabar dengan penyandang Penolong Setiausaha Kehormat bagi lelaki, Ramly Ibrahim akan ditentang oleh Mohd Hisham Mohd Nor, Ramesh Lachman dan Lawrence Yeow Eng Leong.

Bagi penyandang Penolong Setiausaha Kehormat bagi wanita, Moira Tan Siew See akan dicabar oleh Latifah Ya'cob.

Jawatan Setiausaha Kehormat MOM yang dipegang oleh Datuk Sieh Kok Chi sejak 1992 tidak dipertandingkan, begitu juga dua lagi jawatan iaitu Bendahari Kehormat yang disandang oleh Datuk Seri Kee Yong Wee dan jawatan Penolong Bendahari Kehormat yang disandang oleh Rosmanizam Abdullah, katanya.

Norminshah turut mengingatkan mereka yang bertanding menjauhi politik wang kerana ia satu kesalahan jenayah dan patut dilaporkan serta merta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Beliau berkata, pemilihan jawatan MOM harus dilaksanakan dengan penuh semangat kesukanan dan setia kawan sebagaimana mengikut prinsip yang diutamakan oleh Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC).

Pengundian untuk semua jawatan itu akan diadakan pada 30 Mei ini dengan hanya tiga wakil daripada setiap 34 persatuan atau anggota biasa MOM dibenarkan untuk mengundi.

Sementara itu, 16 persatuan atau ahli bersekutu MOM hanya akan bertindak sebagai pemerhati, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain