suria

Harimau Muda cengkam kukuh pendahulu Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Harimau Muda terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Perdana apabila mengutip tiga mata dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Skuad bawah 19 tahun negara kendalian K. Rajagobal terpaksa bekerja keras sepanjang perlawanan sebelum memperoleh gol kemenangan menerusi pemain tengahnya Abdul Syukor Jusoh, pada minit akhir perlawanan.

Dengan kemenangan itu, Harimau Muda terus menjarakkan perbezaan mata (37 mata) dengan pencabar terdekatnya Johor (31) yang tidak beraksi malam tadi.

Sementara itu, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu, TTeam membelasah Felda United 4-0.

Ketua pasukan TTeam yang juga penyerang kebangsaan Hairuddin Omar menjadi wira pasukannya selepas menghasilkan jaringan hatrik pada minit ke-3, ke-63, dan ke-78.

Gol keempat dihadiahkan oleh Amirul Hashim Ammluddin Baki (ke-74).

Kemenangan itu membolehkan TTeam memperoleh 28 mata sekaligus mengukuhkan kedudukan tangga ketiga mengatasi pencabar terdekatnya, Kuala Lumpur.

Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur mengambil kesempatan beraksi di tempat sendiri apabila menang 2-0 ke atas SDM Kepala Batas.

Di Stadium Sarawak, Proton FC mengutip mata penuh selepas menang 2-1 mengatasi Sarawak. Jaringan Proton FC diperoleh menerusi Mohd Zamri Hassan (ke-45), Harizul Izuan Abdul Rani (ke-55) sementara gol Sarawak menerusi Joseph Kalang Tie (ke-63). BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain