suria

BAM hantar pasukan ke piala Sudirman di China

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM), walaupun masih bimbang dengan wabak Influenza A(H1N1), memutuskan untuk menghantar pasukan kebangsaan ke kejohanan Piala Sudirman di Guangzhou, China dari 10 hingga 17 Mei ini.

Presiden BAM Datuk Nadzmi Mohd Salleh berkata pihak pengurusan akan berhubung dengan Institut Sukan Negara (ISN) dan mengambil langkahlangkah berjaga bagi melindungi skuad itu.

"Pegawai ISN sudah memberikan penerangan kepada pemain dan jurulatih kami dua hari lepas dan kami merasakan perlu mengambil langkahlangkah berjaga termasuk tidak mendedahkan para pemain dan pegawai dengan sentuhan yang tidak perlu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco BAM di sini hari ini.

ISN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) barubaru ini mengingatkan semua persatuan sukan untuk mengambil langkahlangkah perlu sebelum menghantar atlet mereka ke kejohanan di luar negeri.

Dalam mesyuarat itu, Nadzmi juga mengumumkan senarai pemain yang akan beraksi pada kejohanan itu.

"Mereka yang sudah sah akan ke China adalah pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Wong Mew Choo, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty dan Ng Hui Lin.

Tiga lagi akan diumumkan kemudian selepas menerima laporan prestasi daripada jurulatih," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek berharap para pemain akan memberikan yang terbaik dengan sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir.

"Sasaran kami adalah untuk layak ke separuh akhir dan kami akan fikirkan perkara lain selepas itu, jika kami tidak layak, kenapa kami kena fikirkan sasaran seterusnya?," katanya.

Pasukan negara akan bertolak ke Guangzhou Khamis ini dan akan bertemu Korea Selatan dalam perlawanan pertama pada Ahad, diikuti pertemuan dengan Hong Kong dan Denmark. BERNAMA

Artikel Lain