suria

Peninju negara berguru di Thailand

KUALA LUMPUR: Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) yang akan mendapat khidmat jurulatih dari Thailand pada Mei ini bercadang untuk memperkemaskan skuad elit negara dengan mengadakan latihan lebih kerap di negara jiran itu.

Setiausaha Agung PTAM, Mejar (B) Maulud Othman berkata peninju kebangsaan perlu diberi lebih pendedahan berlatih di Thailand kerana Malaysia tidak mempunyai ramai peninju berkebolehan untuk dijadikan rakan sepelatih.

"Thailand mempunyai ramai jurulatih dan peninju yang berkebolehan dan tidak hairanlah peninju dari Cuba pun menjalani latihan di sana," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Maulud berkata kos latihan di Thailand juga lebih murah jika dibandingkan dengan negara lain.

"Saya telah berbincang dengan Majlis Sukan Negara mengenai perkara ini dan saya rasa mereka tidak mempunyai halangan," katanya.

Mengenai identiti jurulatih dari Thailand, Maulud berkata PTAM terpaksa merahsiakannya dahulu kerana beberapa perkara berkaitan dengan kontrak perlu diselesaikan oleh MSN.

"Seperti biasa pada peringkat awal kita hanya tawarkan kontrak selama dua tahun kepada jurulatih tersebut, dan sekiranya mencapai matlamat, kontrak akan ditambah kepada lapan tahun, " katanya.

Maulud berkata jurulatih dari Thailand itu diberikan tugas untuk membimbing skuad elit negara manakala tugas membimbing skuad pelapis diberikan kepada jurulatih tempatan, Ramli Yahya.

Jawatan jurulatih kebangsaan kosong setelah jurulatih dari Kyrgyzstan, Kalen Asakanov, pulang ke negaranya pada 29 Dis lepas walaupun kontraknya berakhir awal Januari tahun ini.

PTAM berusaha mendapatkan khidmat jurulatih dari Cuba tetapi gagal menyebabkan ia memilih jurulatih dari Thailand. BERNAMA

Artikel Lain