“Mungkin rezeki kami bukan di sini” - Nik Qistina baharu sedar susah nak jadi penghibur, kena menyanyi dan menari

Nik Qistina tersingkir pada minggu ketiga Dansa Dan Sing.

PENYANYI baharu, Nik Qistina mengakui perasaan gugup menjadi punca utama dia tersingkir dalam konsert minggu ketiga program Dansa Dan Sing (DDS) pada Ahad.

Menurut Nik Qistina, 20, selain kemalangan yang dialami dua kru tarian atau troopers kumpulannya, keadaan kesihatan yang tidak begitu baik juga mengganggu tumpuannya pada malam itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Hady Mirza kaku di pentas! Penonton Dansa Dan Sing bandingkan dengan Alif Satar - “Cakap la apa nak cakap”

“Sejujurnya daripada semalam dah banyak dugaan dan salah satu punca saya tersingkir pada malam ini adalah kerana saya gugup selain bimbang akan keadaan dua penari saya yang cedera. Apapun mereka sudah berikan yang terbaik.

“Selain itu keadaan kesihatan saya juga antara faktornya. Saya demam, batuk dan selsema. Tapi saya tahu itu bukanlah alasan yang boleh diberi,” ujarnya kepada mStar.

Nik Qistina bergambar kenangan bersama troopers DP Fam.

Nik Qistina berkata demikian ketika ditemui di sidang media selepas tamatnya konsert ketiga Dansa Dan Sing di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor malam Ahad.

Dalam pada itu Nik Qistina berkata, untuk menjadi seorang penghibur yang boleh menyanyi dan menari dalam masa sama bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi apabila ia adalah pengalaman pertama dia menyertai pertandingan seperti ini.

“Sebagai seseorang yang tak pernah menari dan tiba-tiba masuk pertandingan seperti ini sememangnya ia sangat mencabar buat saya.

“Perkara yang paling mencabar apabila saya perlu menyanyi dan menari pada masa sama dan saya tidak bersedia untuk itu.

“Saya akur... mungkin rezeki kami bukan di sini, InsyaAllah akan buat lebih baik dan mungkin ada rezeki di tempat lain buat saya,” ujarnya.

Nik Qistina yang diiringi DP Fam selaku troopers menyampaikan lagu Jampi nyanyian asal Hael Husaini mendapat markah paling rendah daripada barisan juri profesional iaitu sebanyak 51.67 peratus.

Sebagai seseorang yang tak pernah menari dan tiba-tiba masuk pertandingan seperti ini sememangnya ia sangat mencabar buat saya.

NIK QISTINA

PENYANYI

Arja Lee dan Atilia yang turut berada pada kedudukan berjaya meneruskan saingan pada minggu keempat bersama Sophia Liana, Chubb-E, Shiha Zikir, Waris, Wani Kayrie dan Raja Syahiran.

Guru tari terkenal, Linda Jasmine dan ikon fesyen negara, Datuk Rizalman Ibrahim dilantik sebagai juri tetap dalam musim pertama ini.

Sementara itu pengacara terkenal, Datuk AC Mizal dijemput sebagai juri jemputan pada malam itu.

Kesemua peserta bertanding diadili menerusi format penjurian yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu markah juri profesional dan undian penonton secara dalam talian.

Bagaimanapun markah daripada juri profesional menyaksikan penilaian 70 peratus untuk persembahan tarian, manakala 30 peratus lagi daripada aspek nyanyian.

Program itu dihoskan oleh Sherry Alhadad dan Hady Mirza ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium MBSA pada setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123) mulai 5 Januari 2020.
Dansa Dan Sing, Nik Qistina

Artikel Berkaitan

Artikel Lain