Aliff Aziz didakwa berkelakuan tidak senonoh, tuduhan ketiga di mahkamah dalam masa hampir tiga bulan

Aliff didakwa kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat awam. -Foto Berita Harian Singapura

PENYANYI dan pelakon Aliff Aziz didakwa di mahkamah atas satu lagi pertuduhan baharu iaitu berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

Mengikut kertas pertuduhan seperti yang dilaporkan Berita Mediacorp Singapura, Aliff berkelakuan sedemikian dengan menjerit dan membuat gerak isyarat menggunakan tangannya secara terlampau di Orchard Towers, Singapura sekitar pukul 6.25 pagi pada 10 November lalu.

Sebelum itu, tersebar rakaman video yang menunjukkan penyanyi itu bertengkar dalam keadaan mabuk di Orchard Road menjadi tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: “Enggan beri kerjasama dan terus cetus kekecohan” - Aliff Aziz ditahan ganggu ketenteraman awam ketika mabuk

ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Aziz didakwa gara-gara curi sekotak rokok, pemetik api dan wang tunai RM1,200

Dalam video tersebut penyanyi lagu Sayang Sayang itu melarikan diri sebelum ditangkap oleh beberapa orang pegawai polis.

Aliff menjerit-jerit sambil menghubungi seorang lelaki dipercayai bapanya menggunakan telefon bimbit sementara enam pegawai polis cuba menggarinya.

Jika disabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda hingga SGD$2,000 (RM 6,110) atau dihukum penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Aliff ditangkap pihak polis pada 10 November lalu kerana mengganggu ketenteraman awam dalam keadaan mabuk.

Ini merupakan tuduhan ketiga terhadap selebriti berusia 28 tahun itu.

Pada 3 September lalu, dia dituduh mencuri wang milik seorang pelakon dan ahli politik Indonesia bernama Raja Yunika Perdhana Putri dan satu lagi kes mencuri sekotak rokok dan pemetik api milik seorang lelaki di Starbucks Plaza Singapura.

Bagi kedua-dua kes curi itu, Aliff sepatutnya dihadapkan ke mahkamah pada Selala lalu, namun ditangguhkan kerana tuduhan ketiga itu.

Sebutan semula kes berkenaan dijadualkan berlangsung pada 9 Disember depan.

Sebelum ini bekas suami kepada Bella Astillah itu pernah mencetuskan beberapa kontroversi sejak beberapa tahun lalu.

Dia didakwa curang terhadap isterinya serta dikatakan menjalin hubungan dengan beberapa wanita dan mendapat perhatian media.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 namun bercerai pada 16 Mei lalu.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Ayden, yang kini berusia dua tahun.

Aliff Aziz

Artikel Berkaitan

Artikel Lain