suria

Aliff Aziz didakwa gara-gara curi sekotak rokok, pemetik api dan wang tunai RM1,200

Aliff Aziz didakwa di Mahkamah Singapura. -Foto Berita Harian Singapura

PENYANYI Aliff Aziz didakwa di Mahkamah Singapura atas dua tuduhan mencuri pada Selasa.

Menurut laporan Berita Harian Singapura, Aliff didakwa mencuri wang sebanyak $300 dolar Singapura (RM909) dan 1 juta rupiah (RM296) daripada pelakon Indonesia, Raja Yunika Perdhana Putri.

Aliff didakwa melakukan perkara itu di sebuah bilik di Studio M Hotel, 3 Nanson Road, Singapura antara pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi pada 7 Jun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kamu menyesal, merayu tarik balik 'report' tapi... jenis tak boleh buat baik!” - Raja Yunika berang dituduh fitnah Aliff Aziz

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga kali kantoi curang antara 7 kontroversi Aliff Aziz sejak bergelar artis

Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 28, turut berhadapan tuduhan mencuri sekotak rokok dan pemetik api bernilai S$15.60 (RM47.29) milik Gurwinder Singh di sebuah kafe di Plaza Singapura.

Kejadian kedua itu didakwa dilakukan Aliff pada 6 Ogos lalu sekitar pukul 4.45 pagi.

Raja Yunika pernah meluahkan rasa bengang dengan sikap Aliff Aziz.

Penyanyi lagu Sayang-Sayang itu bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin $5,000 dolar Singapura (RM15,000).

Perbicaraan akan disambung pada 1 Oktober ini.

Sebelum ini bekas suami kepada Bella Astillah itu pernah mencetuskan beberapa kontroversi sejak beberapa tahun lalu.

Dia didakwa curang terhadap isterinya serta dikatakan menjalin hubungan dengan beberapa wanita dan mendapat perhatian media.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 namun bercerai pada 16 Mei lalu.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Ayden, yang kini berusia dua tahun.

Aliff Aziz, mahkamah

Artikel Lain