suria

“Ini penanda aras, pelawak bukan hanya buat lawak” - Zizan Razak

Zizan Razak muncul dengan filem terbaharunya, Polis Evo 2. Foto SAMUEL ONG

PELAWAK dan pelakon Zizan Razak memberitahu lakonannya dalam filem Polis Evo 2 sebagai peluang baharu bagi pelawak-pelawak di Malaysia keluar daripada genre komedi.

Kata Zizan, karakter Inspektor Sani membuktikan bahawa pelawak juga mampu menjadi seorang pelakon membawakan watak-watak 'serius'.

"Ini pengalaman pertama saya dan ia peluang baharu kepada pelawak lain. Ini penanda aras bahawa jangan pandang pelawak hanya perlu buat lawak sahaja.

"Jika menangis pun kena menangis dalam bentuk lawak. Sekarang tidak lagi. Pelawak-pelawak luar negara sudah lama berubah dan diterima," ujarnya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis Evo 2 dapat nasihat mufti

ARTIKEL BERKAITAN: Polis Evo 2 tak hina Islam


Shaheizy Sam dan Zizan Razak teraju utama Polis Evo 2.

Zizan berkata, lakonannya dalam filem berkenaan memerlukan dia untuk bermain dengan emosi.

Katanya, dia juga perlu menangis tanpa menggunakan sebarang alat bantuan cecair ubat pencuci mata.

"Saya jarang menangis dan jika ada watak itu saya mengakui gunakan 'eye mo' tapi untuk filem ini saya menangis betul-betul.

"Sejam lebih juga saya menangis sampai balik rumah demam. Rupa-rupanya berlakon menggunakan emosi lebih penat," ujarnya.

Barisan pelakon Polis Evo 2. 

Dalam pada itu, Zizan berkata, dia teruja untuk melihat reaksi netizen terhadap lakonannya dalam filem berkenaan.

"Saya tidak tahu tahap lakonan saya dalam filem ini, saya lebih suka tunggu netizen yang komen di media sosial.

"Sebagai pelakon sudah tentu saya tidak puas dan ingin perbaiki lakonan saya pada masa akan datang," ujarnya.

Polis Evo 2 menampilkan Shaheizy Sam, Zizan Razak dan pelakon Indonesia Raline Shah bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 22 November ini.

Filem ini turut turut menampilkan pelakon lain antaranya Erra Fazira, Raline Shah, Hairul Azreen, Soffi Jikan, dan Syafie Naswip.

Zizan Razak

Artikel Lain