suria

MTV World Stage 2012: Justin Bieber Lebih Mesra Peminat

Persembahan Bieber berjaya memukau penonton yang hadir. Foto ART CHEN
Persembahan Bieber berjaya memukau penonton yang hadir. Foto ART CHEN
Persembahan Bieber berjaya memukau penonton yang hadir. Foto ART CHEN

PETALING JAYA: Penyanyi antarabangsa Justin Bieber dilihat lebih mesra peminat dan kerap berkomunikasi ketika mengadakan persembahan pada rakaman konsert MTV World Stage Live In Malaysia 2012 di Surf Beach Sunway Lagoon, Bandar Sunway, di sini, malam Sabtu.

Bieber yang tampil berbaju hitam dan seluar merah muncul pada sekitar pukul 6.35 petang, menerusi lagu keramatnya, Baby, di hadapan lebih daripada 16,000 penonton.

Pada persembahan yang berlangsung hampir 45 minit, Bieber tidak henti-henti memuji para peminat Malaysia yang tidak putus-putus memberi sokongan kepadanya.

"Saya rasa gembira dapat datang lagi ke Malaysia kerana orang di sini menyambut saya dengan tangan terbuka.

"Dan ada sesiapa yang ingin menjadi kekasih saya?" Soalnya berseloroh sebelum menyanyikan lagu barunya berjudul Boyfriend.

Ini merupakan kunjungan Bieber yang kedua selepas mengadakan konsert 'Justin Bieber My World Tour' di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada April tahun lalu.

Selain Baby dan Girlfriend, Bieber turut membawakan lagu-lagu popularnya seperti Never Say Never, One Time, Around The World, As Long As You Love Me, Die In My Arm dan Be Alright.

Selain itu, penyanyi berkumpulan daripada negara Korea, KARA, Mizz Nina dan Jay Park turut menjayakan konsert tersebut.

Persembahan KARA yang mempersembahkan sebanyak lapan buah lagu juga berjaya membuatkan penonton remaja teruja dengan persembahan mereka.

Antara lagu yang dibawakan ialah Step, Jumping, Lupin, Let It Go, Hunny dan Mister.

Mizz Nina juga tidak kurang hebatnya yang tampil dengan lagu-lagu daripada album terbarunya, Take Over.

Isteri kepada vokalis kumpulan Hujan, Noh itu turut membuatkan para penonton yang terdiri daripada pelbagai kaum kagum dengan persembahannya yang dilihat setaraf penyanyi antarabangsa.

Jay Park yang menjadi penyanyi terakhir menjayakan MTV World Stage membawakan lagu AOM dan 1llionaire pada permulaan persembahan.

Diikuti dengan lagu Abandoned, Know Your Name, Carefree, Nothing, Girlfriend, I Got Your Back dan Star.

Secara keseluruhan, konsert MTV World Stage 2012 telah pun dijalankan dengan penuh meriah, walaupun ramai yang pulang selepas persembahan Bieber.

Konsert tersebut dihoskan oleh dua VJ yang terkenal, VJ Rich dan VJ Holly.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain