suria

Idham Yakin JPBC2 Mampu "Pancing" Penonton

Ahmad Idham. - Foto The Star oleh ART CHEN
Ahmad Idham. - Foto The Star oleh ART CHEN
Ahmad Idham. - Foto The Star oleh ART CHEN

KUTIPAN pecah panggung memang sinonim dengan filem-filem arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri atau mesra disapa Idham.

Antara judul filem pecah panggung yang pernah menjulang nama Idham termasuklah Jangan Pandang Belakang, Senario The Movie, Adnan Semp-it dan Niyang Rapik.

Begitu juga dengan percubaan jalur komedi seram iaitu Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC) yang diterajuinya sehingga berjaya mengutip sebanyak RM6.3 juta apabila ditayangkan, tahun lalu.

Dek kejayaan filem itu, Idham dan penerbit David Teo sekali lagi bergandingan dalam mempertaruhkan sekuel kepada filem itu yang bakal menjengah pawagam pada 7 Oktober depan.

Ditanya mengenai penghasilan JPBC2, Idham berkata, kejayaan besar yang diterima pada filem pertama JPBC tahun lalu memberi keyakinannya untuk menerbitkan filem sekuel.

Namun, ujar Idham sekalipun mereka optimis bahawa filem itu sudah mempunyai kelompok peminat sendiri, sebagai pemain industri dia tidak menyangkal debaran yang dirasai menjelang tarikh tayangan umum filem itu, dua minggu lagi.

"Secara jujurnya, sebagai pembikin filem ini saya yakin JPBC mampu untuk pancing peminat filem Melayu ke pawagam. Sebelum kami buat sekuel, kami sudah membuat kajian terlebih dahulu untuk melihat respons masyarakat ketika JPBC ditayangkan pada tahun lalu.

"Apa yang dilihat, filem ini sudah mempunyai kelompok peminat sendiri. Walaupun saya tidak berani hendak menjangkakan jumlah kutipannya kelak tapi saya yakin filem sekuel ini dinanti-nantikan oleh peminat filem Melayu bergenre komedi seram.

"Cuma, saya akui memang satu cabaran buat saya dan produksi untuk mengekalkan momentum filem ini agar ia dapat mengulangi kejayaan bahagian pertama dulu," katanya yang ditemui pada majlis pra-tonton filem JPBC2, baru-baru ini.

Pengarah yang sebelum ini dikatakan akan menggalas jawatan Ketua Pengarah Finas pada penggal depan bagi menggantikan Mohd Mahyidin Mustakim, lantas diminta mengulas mengenai kecenderungannya yang menghasilkan filem berbentuk komedi ringan seperti JPBC 1 & 2.

Jelas Idham, corak dan tekanan hidup yang dijalani oleh masyarakat kita pada hari ini adalah faktor utama yang mendorong pengarah itu untuk menerbitkan filem-filem komedi sedemikian.

"Kehidupan yang kita lalui hari ini sudah cukup membebankan dan memberi tekanan pada fikiran dan hati kita. Masyarakat memilih untuk mendapatkan hiburan pada harga yang mampu dan jelas sekali pilihan itu adalah pawagam.

"Saya menjalankan kajian dengan orang ramai mengenai genre filem yang menjadi pilihan utama mereka apabila singgah ke pawagam. Rata-rata mereka memilih filem komedi dan ringan bagi mengurangkan tekanan.

"Kajian itu bukan cakap kosong kerana Alhamdulillah memang sudah terbukti filem-filem komedi dan ringan yang saya hasilkan mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai sejak beberapa tahun lalu.

"Walaupun ada segelintir pihak berpandangan negatif dan berasa jelek dengan filem-filem saya tapi sebagai penggiat filem saya selalu sematkan jika filem sebegitu yang jadi pilihan penonton, mengapa harus saya menawarkan filem-filem berat yang hanya membebankan fikiran dan menambahkan tekanan kepada penonton?" soalnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain