suria

Resepsi Mawi-Ekin meriah dengan adat Jawa

Wajah ceria pengantin baru selepas mendarat di Padang Awam, Felda Taib Andak.
Helikopter yang membawa Mawi dan Ekin menuju ke lokasi persandingan di Felda Taib Andak, Kulai petang tadi. -foto The Star oleh RAHMAN EMBONG
Helikopter yang membawa Mawi dan Ekin menuju ke lokasi persandingan di Felda Taib Andak, Kulai petang tadi. -foto The Star oleh RAHMAN EMBONG

[SEMASA] KULAI: Majlis resepsi penyanyi popular, Asmawi Ani, 27, dan Ekin, 29 berlangsung meriah dengan tema adat orang Jawa.

Sesuai dengan gelaran ‘wedding of the year’, pasangan merpati dua sejoli ini terus memahat nama dengan menjadi pasangan artis pertama diarak dengan menaiki helikopter dari perkarangan hotel Sofitel di Senai menuju ke Padang Utama, di Felda Taib Andak di Kulai pada jam 1.30 petang.

Biarpun mentari terus memancarkan sinarnya namun bahang kemeriahan persandingan kedua mempelai ini tidak mematahkan semangat hampir 20,000 peminat juara AF3 yang berada di perkarangan padang untuk terus menanti ketibaan pasangan Raja Sehari.

Mawi dan Ekin tiba pada jam 2 petang terus diarak menuju ke pelamin khas yang disediakan khas buat peminat-peminatnya untuk menyaksikan dengan lebih dekat serta mengabadikan kenangan bersamanya.

Pelamin berkonsepkan moden kontemporari itu direka oleh Zul Fadzli.

Persis pahlawan Jawa, begitulah segaknya Mawi menggayakan baju adat Jawa berserta ketayap berwarna ‘silver’ rekaan Zul D' Classique.

Sementara Ekin pula tampil jelita umpama bidadari dari kraton (istana) menggayakan busana gaun labuh beserta tiara warna sedondon sentuhan Adli Bridal.

Setelah selesai majlis persandingan dihadapan peminat-peminatnya, pasangan pengantin baru ini diarak sekali lagi.

Kali ini mereka diarak menaiki kereta ‘sport’ berserta motor berkuasa tinggi menuju ke Dewan Bahagia bagi meraikan tetamu kehormat serta ahli keluarga terdekat mempelai kedua belah pihak.

Setibanya kedua mempelai di perkarangan dewan, mereka dihiburkan dengan gerak tari masyarakat Melayu lama iaitu, tarian Barongan dan Pencak Silat.

Langkah terus dipaku sebaik menjejakkan kaki ke dalam Dewan Bahagia apabila singgahsana kedua mempelai dihias indah bak kraton (istana) Jawa lama .

Gabungan idea tradisional masyarakat Jawa dan moden kontemporari yang diterapkan dalam penghasilan pelamin tersebut nyata menaikkan aura pelamin rekaan Zul Fazli Suhardi.

Penggunaan bunga hidup menaikkan lagi seri serta keindahan pelamin hinggakan tetamu kenamaan serta pihak media juga tidak melepaskan peluang mengabadikan kenangan bersama pasangan Raja Sehari, Mawi dan Ekin di singgahsana mereka.

Majlis yang menggabungkan konsep perkahwinan dalam taman turut diisi dengan beberapa majlis menepung tawar dan merenjis oleh keluarga pengantin, diikuti dengan persembahan menghiburkan kumpulan nasyid, Ekspresi dan tarian kuda kepang serta diakhiri dengan upacara memotong pulut kuning.

Majlis resepsi tersebut dihadiri kira-kira 1,100 orang tetamu yang terdiri dari kalangan ahli keluarga, rakan terdekat serta tetamu VIP.

Lebih istimewa, hadirin dijamu dengan menu istimewa masyarakat Jawa Sunda seperti Nasi Ayam Penyek, Ayam Goreng Palembang, Sambal Jawa, Ulam-ulaman, Tempe dan tauhu, Sup Sunda, buah-buahan dan air kordial Anggur.

Bagi peminat yang tidak berpeluang menyaksikan persandingan pengantin popular itu, mereka dapat menyaksikannya apabila stesen berbayar Astro turut menyiarkan secara langsung upacara persandingan Mawi dan Ekin di saluran Astro Prima (105).

Semalam, konsert Gempak Rewang Mawi-Ekin diadakan khas bagi meraikan majlis resepsi pasangan pengantin baru terbabit dihadiri kira-kira 5,000 peminatnya di perkarangan Padang Utama, Felda Taib Andak.

Penyanyi popular dengan lagu Kian ini berkata beliau sangat bersyukur kerana majlis resepsi pada hari ini berjalan lancar dan beliau berharap media serta peminatnya akan terus memberi sokongan kepadanya selepas ini.

Pasangan ini diijabkabulkan pada 20 Disember lalu di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru manakala majlis persandingan bagi pihak pengantin perempuan dilakukan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru pada sebelah malamnya.

Pasangan pengantin baru ini akan disandingkan buat kali ketiga di Palace of The Golden Horses berkonsepkan Timur Tengah pada 11 Januari depan.

Artikel Lain