suria

Sehati Berdansa: Fauzi dan Lisda syorkan pasangan artis bermasalah turut serta

Senyuman juara Lisda dan Fauzi..-foto The Star oleh KAMAL SELLEHUDDIN
Senyuman juara Lisda dan Fauzi..-foto The Star oleh KAMAL SELLEHUDDIN
Senyuman juara Lisda dan Fauzi..-foto The Star oleh KAMAL SELLEHUDDIN

KEMENANGAN pasangan pelakon Fauzi Nawawi dan Lisdawati bagaikan sudah dirancang namun pasangan ini sememangnya layak untuk meraih gelaran juara Sehati Berdansa musim kedua.

Melalui keputusan itu juga, ia menepis dakwaan yang mengatakan wujud konspirasi di sebalik kemenangan pasangan itu.

Konspirasi tersebut didakwa telah dirancang oleh pihak Astro sendiri yang inginkan Fauzi dan Lisda memenangi program realiti tarian ini berbanding pesaing terdekat pasangan ini iaitu Amyza Aznan dan Khairil Izhar Mohd Nazir.

Bagaimanapun, ketika sidang media selepas program yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu berakhir, Fauzi, 35, mahupun Lisda, 30, menafikan dakwaan tersebut dan mengandaikan kemenangan mereka disebabkan rezeki dari Tuhan dan sokongan yang kuat daripada kelab peminat mereka.

“Kami juga menganggap kemenangan ini atas berkat doa anak-anak di Rumah Nur Salam dan peminat kami yang beragama Islam. Dengan sokongan mereka itu telah membuktikan kejayaan kami.

“Jadi, kami bersyukur atas kejayaan ini. Sama ada juara atau tidak, pasangan Lisda dan Fauzi serta Amyza dan Khairil adalah juara hari ini,” ujar Lisda atau Nisdawati Nazaruddin ketika sidang media tersebut.

Fauzi atau Mohd Fauzi Mohd Nawawi pula menambah: “Semasa kami melayari laman web Murai, ramai yang memberi komen positif dan kata-kata semangat untuk kami terus ke peringkat akhir. Bukan dalam laman web Murai sahaja, malah ada juga yang memberi komen positif melalui laman web Astro.”

Dalam pada itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul turut mengulas tentang dakwaan tersebut.

“Memang tiada konspirasi kerana sistem undian Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dikawal sepenuhnya oleh juruaudit kami,” ulas Khairul Mizan.

Beliau juga menyatakan jumlah SMS Sehati Berdansa pada tahun ini meningkat kepada RM1.6 juta iaitu dua kali ganda berbanding tahun lepas.

“Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan masih ada penaja yang sudi menajanya. Kalau sambutan ini masih positif pada masa akan datang, kita akan teruskan pada masa akan datang,” ujar Khairul Mizan.

Selain daripada itu, Fauzi dan Lisda turut menganggap program realiti yang pernah menobatkan pasangan Vanidah Imran dan Rashidi Ishak sebagai juara Sehati Berdansa musim pertama tahun lalu ini mampu menjernihkan keadaan pasangan artis bermasalah seperti fenomena yang kerap melanda industri hiburan sekarang.

“Masa 10 minggu yang kami lalui dirasakan terlalu panjang. Pelbagai suka-duka yang kami lalui bersama termasuklah bergaduh-gaduh kecil.

“Biasalah tu, sedangkan saat bersama suami pun, ‘lidah lagi tergigit’... Jadi, program yang kami lalui ini bukanlah singkat kerana juga mampu mengeratkan hubungan suami isteri,” kata Lisda sambil tersenyum gembira.

Sementara Fauzi pula menyambung: “Program ini sesuai untuk artis yang mempunyai masalah rumah tangga.

“Saya bercerita berdasarkan pengalaman saya yang selalu sibuk dengan pengambaran dari siang ke malam.

“Sepanjang kami terlibat dengan Sehati Berdansa selama 10 minggu ini, baru beberapa minggu kami dalam program ini, lebih 12 jam kami habiskan masa bersama.

“Segala masalah juga dikongsi bersama. Apa yang saya nampak, pasangan artis berkahwin yang bermasalah harus menyertai program ini kerana di luar itu kita selalu sibuk dan menghadapi tekanan di luar menyebabkan pasangan kita tidak memahami kehendak kita.

“Buktinya, lihatlah tiga pasangan yang hamil semasa menyertai program ini yang menunjukkan kesan positif serta mereka menjalani kehidupan bahagia semasa bersama.”

Lisda dan Fauzi ligat di atas pentas

Dari aspek persembahan, pasangan Lisda dan Fauzi memang layak diangkat sebagai juara musim kedua ini.

Ini diakui sendiri oleh juri profesional Linda Jasmine dan Hamzah Tahir kerana mereka senantiasa konsisten dan menunjukkan prestasi yang baik saban minggu malah juri jemputan Anthony Meh Kim Chuan minggu ini ini juga melontarkan pujian kepada Lisda dan Fauzi.

Antara komen menarik adalah daripada Linda Jasmine iaitu: “Saya suka semangat anda bertiga yang sangat berhak untuk berada di kemuncak. Secara terang-terangan anda sangat bagus untuk sampai ke sini.

“You guys have a great showmanship. Fauzi memang penari semulajadi. Saya sangat bangga kerana anda bekerja keras sebab amal.”

Peratusan yang dicatat mereka 67.8 peratus juga mendahului pasangan Amyza dan Khairil (32.9 peratus) pada malam tadi seperti yang diumumkan oleh Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul.

Diikutkan, Lisda dan Fauzi kurang meraih markah yang tinggi kerana apabila tiba keputusan undian penuh, pasangan Amyza Adnan dan Khairil Izhar Mohd Nazir lebih mendahului pasangan Lisda dan Fauzi.

Keputusan tersebut ketara dilihat apabila undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) Amyza dan Khairil tinggi saban minggu.

Begitu juga dengan peratusan sebelum persembahan dimulakan, pasangan Amyza dan Khairil mendahului dengan 51.68 peratus berbanding Lisda dan Fauzi dengan 48.32 peratus.

Bagaimanapun, selepas itu, sebelum memasuki persembahan pusingan kedua menerusi tarian Latin, pasangan Fauzi dan Lisda kembali mengejar dengan 61.79 peratus mendahului Amyza dan Khairil yang berjaya meraih 38.25 peratus.

Persaingan antara pasangan Lisda dan Fauzi yang mewakili Rumah Nur Salam mahupun pasangan Amyza dan Khairil yang mewakili Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia, cukup menarik.

Pada acara kemuncak Sehati Berdansa musim kedua yang diacarakan oleh penyampai radio Linda Onn dan pelakon terkenal Fahrin Ahmad ini, pasangan diberikan dua cabaran akhir iaitu persembahan tarian Melayu kontemporari dan Latin.

Semasa membuat persembahan pertama, tarian Melayu kontemporari, para finalis berentap menggunakan konsep ‘dance battle’ atau ‘tarian tempur’ yang memerlukan kedua pasangan membuat persembahan masing-masing secara serentak di atas pentas yang sama dengan iringan lagu medley Akar dendangan Seha dan Joget Tari Melenggang oleh Datuk Ahmad Jais.

Dalam persembahan tersebut, pasangan Amyza dan khairil kelihatan relaks dengan tarian mereka manakala Lisda dan Fauzi nampak tangkas dan agresif. Namun kadangkala aksi Fauzi kelihatan ‘over’ pula sehingga tengkolok yang dipakainya terjatuh.

Untuk pusingan kedua pula, kedua pasangan membuat persembahan tarian Latin secara berasingan.

Pasangan Amyza dan Khairil diberikan membuat tarian kurang ‘kick’ dengan iringan lagu Tumba La Casa manakala Lisda dan Fauzi kembali menghangatkan pentas dengan persembahan menerusi lagu Casanova.

Pasangan Lisda dan Fauzi dilatih oleh koreografer Ray Redzuan Awang manakala Amyza dan Khairil dibantu oleh Nizam Zakaria.

Juara Sehati Berdansa musim kedua iaitu Lisda dan Fauzi telah mengumpul dana RM15, 000 untuk disalurkan kepada badan kebajikan diwakili mereka.

Dengan kemenangan tersebut, Lisda dan Fauzi berjaya membawa pulang kereta Kia Optima, pakej percutian ke Eropah Tengah untuk dua orang sumbangan Golden Deluxe Travel Service Agency Sdn Bhd, hamper dan trofi Sehati Berdansa sumbangan Astro. Juara koreografer berpeluang bercuti ke Jepun untuk dua orang sumbangan penaja sama, trofi dan hamper sumbangan Astro.

Sementara Amyza dan Khairil pula mengumpul dana RM10,000 untuk badan kebajikan diwakili mereka, hamper dan trofi Sehati Berdansa sumbangan Astro.

Selain dua pasangan tersebut peserta lain yang turut menyertai program realiti ini adalah penyanyi Ani Mayuni atau Aishah An-Nur Osman dan suami, Zairi Azmi, Mohd Ashid Ahmad (Ashed Def Gab C)/Sharifah Noor Shima Syed Masnu, Abdul Jamal Jamaluddin/Noor Faridah Mohd Noor, Mazin Ameen Siraj/Ida Charrunisa P, Sabrina Ali Dad Khan (Sabrina)/Mohamad Shahrin Abdul Halim, Shasha Mohamad Saidin/ Salyo Priyanto Notosoemarsono dan Noraini Morat/Shahril Arsat.

Acara kemuncak Sehati Berdansa musim kedua ini disiarkan secara langsung dari PICC menerusi Astro Ria (saluran 104) pukul 9 malam tadi.

Program yang mendapat tajaan Silky Girl & Silky for Men ini juga akan menyiarkan Memori Sehati Berdansa pada 3 dan 4 Januari depan, pada Sabtu dan Ahad, pukul 9 malam.

Artikel Lain