suria

Keuntungan Sebelum Cukai MISC Susut 15 Peratus Kepada RM1.96 Bilion

KUALA LUMPUR: Firma perkapalan, MISC Bhd, mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM1.961 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2017, merosot 15.06 peratus berbanding dengan RM2.309 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan adalah lebih tinggi pada RM7.603 bilion atau 7.4 peratus lebih baik berbanding RM7.079 bilion dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2016, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.

Bagi suku tahun ketiga, syarikat itu mendaftarkkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM706.2 juta daripada RM154.6 juta yang direkodkan pada suku tahun yang sama tahun lepas.

Pendapatan turut bertambah pada RM2.31 bilion daripada RM2.29 bilion.

MISC ketika bercakap mengenai unjuran, memberitahu permintaan untuk penghantaran petroleum terus dipengaruhi oleh pengurangan dalam pengeluaran global sebagai reaksi kepada tahap inventori minyak mentah yang tinggi dan harga minyak yang rendah.

"Ini diburukkan lagi dengan penghantaran kapal tangki baharu dalam tahun berkenaan.

"Bagaimanapun, permintaan bermusim pada kemuncak musim sejuk akan menutup tahun ini dengan prestasi yang lebih baik bagi sektor perkapalan petroleum, " kata MISC.

Dari segi penghantaran Gas Asli Cecair (LNG), kadar carter semerta kekal lembap disebabkan oleh keadaan lebihan bekalan yang diterajui oleh pertambahan dalam penghantaran kapal-kapal baharu serta perlucutan kapal-kapal lama dari senarai carter.

"Bagaimanapun, kadar carter semerta  dijangka menokok memandangkan banyak negara sedang mengumpulkan inventori untuk permintaan bagi keperluan pemanasan ketika musim sejuk yang akan datang,” katanya.

Portfolio semasa bagi carter jangka panjang dalam kumpulan perniagaan perkapalan LNG akan terus menyokong prestasi kewangan segmen berkenaan.

Syarikat perkapalan itu, berkata jangkaan persekitaran harga minyak yang lebih stabil akan mengorak langkah untuk pemulihan dalam pelaburan penerokaan luar pesisir dan pengeluaran, khususnya yang berkaitan dengan pembangunan di Lembangan Atlantik.

"Walaupun peluang mungkin terhad, kontrak jangka panjang semasa dalam tangan akan menyokong prestasi kewangan bahagian perniagaan luar pesisir kumpulan," kata MISC.

Sementara itu, segmen perniagaan kejuruteraan berat kekal komited untuk menguruskan kos, mengoptimumkan sumber dan meningkatkan kecekapan operasi bagi menangani persekitaran yang mencabar.

"Penambahan tempahan dalam tangan dari segmen marin dan perkhidmatan luar pesisir berjalan dengan lancar dan kekal menjadi keutamaan," katanya.

Walaupun segmen tersebut berjaya memperolehi beberapa projek fabrikasi luar pesisir dalam tempoh terbabit, majoriti daripada sumbangan hanya akan diraih pada 2018 dan seterusnya.

Artikel Lain