suria

Aktiviti Import, Eksport Di ICQS Bukit Kayu Hitam Dijangka Bertambah

BUKIT KAYU HITAM: Aktiviti import dan eksport produk pertanian, haiwan dan perikanan di Kompleks  Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang baharu di Bukit Kayu Hitam dijangka bertambah, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Seri  Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata ini berikutan penempatan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di kompleks itu dengan fasiliti lebih selesa dan lengkap sekali gus membolehkan agensi itu mengendalikan pemeriksaan import dan eksport lebih banyak berbanding di kompleks ICQS yang lama.

Kenderaan berat yang membawa barangan berkenaan dianggarkan meningkat 50 peratus di kompleks itu, katanya kepada pemberita selepas meninjau bangunan Maqis di kompleks ICQS itu yang menempatkan bilik sejuk beku, bilik tahanan (kuarantin) dan makmal, di sini, Jumaat.

"Prosedur yang digunakan adalah sama saja seperti di kompleks yang lama cuma di kompleks baharu ini lebih selesa dan bilangan import dan eksport akan bertambah dari semasa ke semasa lebih-lebih lagi apabila pintu sempadan dibuka 24 jam bermula 2019," katanya..

Maqis merupakan satu jabatan di bawah MOA yang berfungsi mewujudkan perkhidmatan bersepadu yang berhubungan dengan kuarantin, pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk, stesen kuarantin dan premis kuarantin dan pemerakuan bagi import dan eksport tumbuhan, haiwan, ikan dan keluaran pertanian.

Tahun 2016 menyaksikan jumlah eksport bagi produk pertanian, haiwan dan produk haiwan, ikan serta produk ikan di semua pintu masuk di negeri Kedah yang dipantau MAQIS ialah sebanyak 43,739 metrik tan, manakala import berjumlah 348,024 metrik tan.

Bagi tempoh Januari sehingga Jun 2017, jumlah import bagi pertanian, produk pertanian, haiwan dan produk haiwan, ikan serta produk ikan di pintu masuk Bukit Kayu Hitam adalah sebanyak 60,863 metrik tan membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM512,470,289.

Artikel Sebelum

Artikel Lain