suria

Suami fikir panjang, tak terima bulat-bulat restu isteri suruh poligami - “Perempuan lain pun belum tentu boleh dapat anak”

Nurulsidah dan suaminya sudah 12 tahun mendirikan rumah tangga.

ZURIAT sering dijadikan alasan utama seorang suami yang ingin berpoligami.

Malah ada yang mengambil langkah tersebut seawal usia perkahwinan setahun kerana menyangkakan isteri ‘bermasalah’ selain diasak oleh rakan serta keluarga.

Namun bagi wanita ini, dia bersyukur kerana suaminya tetap sabar menanti kehadiran cahaya mata meskipun perkahwinan mereka sudah menjangkau usia 12 tahun.

Menerusi perkongsian di TikTok, dia turut menyatakan suaminya enggan menambah isteri selepas diberi keizinan.

Nurulsidah sering menghabiskan masanya bersama suami dan keluarga.

Nurulsidah sering menghabiskan masanya bersama suami dan keluarga.

“Bukan tak pernah suruh cari perempuan lain, tapi ada dua ayat suami yang menyentuh hati.

“Dia cakap kalau nak cari lain tak perlu tunggu bertahun, dah lama cari lain dan kalau ada perempuan lain pun belum tentu boleh dapat anak juga,” luahnya.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nurulsidah Nafisah Musa turut menyatakan, suaminya bukan sahaja tidak mahu dia mengulangi ‘kata-kata’ tersebut malah memarahinya kerana membuat permintaan yang dianggap sebagai merepek.

Dia yang berasal dari Felda Chini di Pekan, Pahang berkata, ia diluahkan semasa usia perkahwinan baru menginjak tiga tahun, kerana dia berasa lemah semangat dan sedih berikutan sering dihina serta disindir orang sekeliling.

ARTIKEL BERKAITAN: Dihina mandul rakan sendiri! Pengasuh reda, tumpang kasih anak asuhan... Netizen doa Allah hadirkan nyawa dalam rahim sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Tak ingin isteri mandul! Wanita ditinggalkan selepas 3 kali gugur kandungan, BF fikir masa depan... Nak kahwin perempuan boleh hamil

“Selepas suami tegur, saya dah tak cakap tentang suruh kahwin lain... kami berdua teruskan dengan ikhtiar.

“Sebenarnya saya cakap tu pun sebab rasa down apabila ada yang sindir dengan kata-kata ‘kesian anak sendiri tak ada, tenunglah anak orang’.

“Pernah juga ada yang menghina saya kerana bermain dengan kucing peliharaan,” katanya sayu.

Malah katanya, meskipun ungkapan negatif dilemparkan kenalan jauh sahaja, namun ia sukar untuk dilupakan.

Suami memang selalu mengelak kalau bercakap pasal anak.

NURULSIDAH NAFISAH

Mengimbau kembali perkenalannya dengan suami Mohd Ruzaimie Abdul Jalil, ujar wanita berusia 35 tahun itu, dia pernah diminta untuk tidak berkahwin.

Pada masa itu, suaminya yang berasal dari Felda Tembangau di Bera, Pahang hanya bekerja sebagai penoreh getah.

Manakala dia merupakan graduan diploma dalam perakaunan dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas).

“Saya kenal suami semasa tengah belajar di Polisas Kuantan. Dia pun pernah mengikuti pengajian di situ tapi memilih untuk berhenti disebabkan jurusan yang diambil tidak diminati.

Keluarga sering memberi sokongan kepadanya.

Keluarga sering memberi sokongan kepadanya.

“Tapi saya kenal lepas dia berhenti dan sedang menoreh getah. Tak sampai setahun berkenalan, keluarganya datang merisik dan kami berkahwin pada April 2011.

“Kahwin pun selepas ayahnya menghubungi saya dan bertanyakan sama ada serius dalam perhubungan atau tidak kerana suami jatuh sakit selepas kami pernah putuskan hubungan,” tambahnya yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa.

Bersyukur dengan kehidupan yang dilalui pada masa ini, dia turut mengakui suami sentiasa mengelak untuk berbicara berkenaan zuriat.

Malah, suaminya pernah meluahkan rasa gembira beristerikannya meskipun belum dikurniakan anak lagi.

“Suami memang selalu mengelak kalau bercakap pasal anak... mungkin dia takut saya sedih.

“Dia pun sangat rapat dengan anak saudara dan di situlah kami menumpang kasih. Alhamdulillah ipar duai semua baik-baik dan menghormati kami,” luahnya.

Tambahnya, doktor sakit puan ada memaklumkan bahawa mereka berdua tidak mempunyai sebarang masalah dan mungkin belum beroleh rezeki anak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain