suria

Belajar sambil bantu bakal pengantin! Pelajar jadi wedding planner, tawar pakej kahwin murah - “Bawa badan je...”

Penuntut semester 5 jurusan Pengurusan Acara PTSS menjayakan Walimatulurus Perdana Kasih Bertakhta 2023 dengan kerjasama Ezanie Wedding. Foto: FB Ezanie Wedding

BAGI mereka yang bergelar penuntut kolej atau universiti, sudah semestinya Projek Tahun Akhir (FYP) menjadi fokus dan menuntut kerja keras sebelum masing-masing menamatkan pengajian.

Untuk tugasan ini, mereka perlu membentangkan hasil kerja, kebolehan dan kemahiran dalam menjalankan projek berdasarkan jurusan masing-masing.

Begitu juga dengan sekumpulan penuntut semester lima bagi jurusan Pengurusan Acara di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Perlis, ini yang menonjolkan kemahiran sebagai perancang perkahwinan (wedding planner) untuk melengkapkan projek akhir tahun mereka.

Apa yang menariknya, projek mereka mengetengahkan pakej perkahwinan 'mampu milik' untuk 20 pasangan pengantin yang mahu meraikan persandingan dengan kos yang rendah.

Menurut Wan Nur Shahirah Yusnizam yang bertindak sebagai timbalan pengarah projek, pakej yang dinamakan Kasih Bertakhta menawarkan harga RM2,800, merangkumi kesemua 'list' wajib untuk pasangan mempelai.

"Dalam pakej ini, ia termasuk dewan, busana sanding lelaki dan perempuan, pelamin, solekan, meja beradab, makanan pengantin, makanan untuk 40 ahli keluarga, photobooth, jurufoto, kad jemputan digital, bunting, cenderahati (doorgift), persembahan, deejay dan bunga telur.

wedding planner 2

Perbincangan dengan syarikat perancang perkahwinan Ezanie Wedding.

"Bagi lima pasangan terawal atau early bird, pakej ditawarkan berharga RM2,600. Siapa cepat, dia dapat. Kami berkolaborasi dengan sebuah syarikat perancang perkahwinan di Perlis.

"Harga yang ditawarkan sangat-sangat berbaloi dengan semua perkara sudah termasuk dalam pakej. Pendek kata, pengantin hanya perlu bawa badan sahaja untuk fitting busana," ujarnya yang senang disapa sebagai Shahirah.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Gadis dapat anugerah tertinggi di kolej tapi tak beritahu mak ayah, drama air mata di dewan konvo melarat sampai balik rumah

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar gigih buat 2 kerja part time demi miliki gim sendiri - “Saya tanya mak, dia beri kebenaran”

Tambah Shahirah, objektif pakej ini menyasarkan pasangan yang mempunyai bajet yang kecil ataupun mereka yang belum berkesempatan meraikan persandingan kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Masa PKP, mungkin kebanyakan pasangan hanya selesaikan majlis nikah saja dan belum berkesempatan nak bersanding.

"Jadi bolehlah ambil peluang ini untuk meraikan hari bahagia yang tertunda. Memandangkan dewan untuk majlis ini adalah Dewan Harum Manis yang terletak di dalam politeknik ini, kami sasarkan pasangan yang berada di utara.

pakej

Pakej yang ditawarkan dalam Kasih Bertakhta.

"Acara persandingan akan berlangsung selama dua hari, iaitu pada 29 April dan 30 April. Hari pertama 10 pasangan dan hari kedua 10 pasangan.

"Bermakna, 20 pasangan ini akan ada slot masing-masing untuk salam restu, bergambar dan outdoor semua," hurainya panjang lebar.

Tambah gadis berusia 21 tahun ini, 'wedding planner' terdiri daripada kesemua 31 penuntut jurusan Pengurusan Acara yang dibahagikan mengikut biro-biro tertentu untuk memastikan hari bahagia 20 pasangan yang mengambil pakej ini berjalan dengan lancar.

Pendek kata, pengantin hanya perlu bawa badan sahaja untuk fitting busana.

WAN NUR SHAHIRAH YUSNIZAM

TIMBALAN PENGARAH PROJEK

"Alhamdulillah, menjelang kira-kira tiga bulan sebelum acara ini, persiapan boleh dikatakan sudah mencecah 45 peratus.

"Buat masa ini, kami fokus kepada pasangan agar menepati 20 pasangan yang disasarkan. Jadi kami bekerja keras untuk mempromosikan pakej Kasih Bertakhta ini.

"Bagi yang ingin membuat tempahan pakej, hanya hubungi nombor yang tertera dan kami akan beri penerangan lanjut. Apa yang boleh kami beri jaminan, pasangan pengantin akan berpuas hati mengambil pakej ini, insyaAllah.

wedding planner 1

Tulang belakang yang menjayakan Walimatulurus Perdana Kasih Bertakhta 2023.

"Akhir kata, saya mewakili rakan-rakan ingin merakamkan setinggi penghargaan buat penyelia kami, Encik Wan Anuwar Affandy Wan Ali, Puan Norrasidah Abidin dan Puan Nur Ilyani Ramly.

"Kami sangat bertuah mempunyai mereka sebagai penyelia yang memberi panduan untuk menjayakan Walimatulurus Perdana Kasih Bertakhta 2023. Keberadaan dan pengalaman mereka benar-benar bermakna untuk kami," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain