suria

Merungut bayar service tax, meja kena kemas sendiri... akak kerja F&B tolong ajar pelanggan yang tak faham

Perbezaan antara caj perkhidmatan dan cukai perkhimatan hangat dibincangkan. -Gambar hiasan

PEKERJA di sektor makanan dan minuman (F&B) diakui harus berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan.

Rungutan dan aduan tidak berasas oleh pelanggan yang kurang rasa empati sudah menjadi kebiasaan untuk mereka.

Namun begitu, sebagai manusia biasa, kesabaran juga mempunyai batasnya dan ada kalanya isi hati yang terbuku perlu diluahkan.

Ciapan asal di laman Twitter.

Seorang wanita yang bekerja di sektor F&B terpanggil untuk memberikan penjelasan panjang lebar mengenai perbezaan di antara cukai perkhidmatan dan caj perkhidmatan.

Terdahulu, tular di TikTok video dua orang pemuda mempersoalkan bayaran cukai perkhidmatan di restoran makanan segera.

"Sedang berselera makan di McDonald's, tetiba terfikir kenapa lepas habis makan ni kena kemas meja sendiri sebab dalam resit ada tulis bayar enam peratus cukai perkhidmatan, kenapa ya?" soal pemuda itu dalam videonya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua jejaka Cina jejak tempat makan dapat ‘bad review’ di Google, sanggup telan tauhu busuk... Lepas ni kedai Melayu pula

ARTIKEL BERKIATAN: Pelayan ambil order sambil lukis siakap 3 rasa, rupa-rupanya anak 3 tahun tak balik Malaysia... ibu tak cam tapi dah rasa sesuatu

Penerangan oleh wanita yang senang disapa sebagai Aina mendapat perhatian warga maya kerana berjaya memberikan gambaran jelas mengenai cukai perkhidmatan dan caj perkhidmatan.

"Sebagai seorang pekerja F&B, aku baru balik dari kerja ni, maaf kalau banyak tersasul bila aku bercakap. Tapi aku terfikir untuk explain benda ni.

"Dalam dunia F&B yang korang makan dekat kedai semua tu, kita ada dua, satu cukai perkhidmatan dan lagi satu caj perkhidmatan.

Kita pun sedia maklum pekerja F&B ni selalu overworked dan underpaid, apa salahnya ringankan tangan sedikit untuk membantu,

NETIZEN

"Bila korang makan dekat satu tempat tu, cuba check resit, tengok kedai tu ambil cukai perkhidmatan atau caj perkhidmatan," ujar Aina memberitahu orang ramai untuk lebih peka.

Menurut Aina, cukai perkhidmatan dan caj perkhidmatan mempunyai perbezaan yang ketara dan ada fungsinya yang tersendiri.

"Kalau macam contoh korang makan dekat McDonald's atau Kentucky Fried Chicken (KFC), cuba check resit tu ada tulis service tax (cukai perkhidmatan) atau service charge (caj perkhidmatan).

Maklumat cukai perkhidmatan dan caj perkhidmatan ada ditulis di resit. -Gambar hiasan

"Biasanya restoran makanan segera dia hanya akan ada service tax, dia tak ada service charge. Sebab tu makanan korang kena ambil sendiri, sampah korang kena buang sendiri dan meja korang kemas sendiri.

"Kami tak dibayar untuk serve korang dan bersihkan sampah korang. Kami hanya dibayar untuk menyediakan makanan korang sahaja," terang Aina.

Seterusnya Aina memberitahu hanya restoran yang resitnya tertulis caj perkhidmatan sahaja yang pelayannya dibayar untuk mengemas meja dan membuang sampah pelanggan.

"Tapi kedai lain yang resit mereka ada tertulis service charge macam contoh Chicken Rice Shop, K Fry, KyoChon, pelayan mereka dibayar untuk serve korang.

"Makanan akan dihantar dekat korang, mereka akan datang ambil order, mereka akan bersihkan meja dan mereka akan buang sampah sebab memang mereka dibayar untuk buat itu.

"Tapi macam contoh di McDonald's, kami tak dibayar untuk buat semua tu, Sebab tu korang kena order sendiri dan angkat buang sampah sendiri selepas makan.

"Service tax pula ialah bayaran yang diberikan kepada kerajaan macam Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) semua tu," jelas Aina.

Membantu mengemas meja selepas makan adalah satu perkara yang dituntut. -Gambar hiasan

Aina kemudian menambah pekerja di restoran makanan segera sering menggunakan budi bicara untuk membersihkan meja pelanggan.

"Restoran yang tak ada service charge, kalau ikutkan kami tak perlu pun nak kemas meja korang tu.

"Kami kemaskan juga sebabnya dah sepah, sakit mata memandang. Tapi sepatutnya korang pelanggan yang makan, korang yang patutnya bersihkan sendiri.

"Korang kalau tak nak sangat buang sampah makanan tu, at least tolong la kumpulkan semua sisa makanan dengan bungkusan tu letak dalam tray.

"Ini bila aku nak pergi kemas meja makan tu, aku macam pelik yang makan ni orang ke beruk," ujar Aina.

Menjengah ke ruangan ciapan balas, rata-rata warga maya berkata perkara ini adalah di atas inisiatif sendiri untuk memudahkan urusan antara satu sama lain.

"Ini benda common sense. Tidak ada law yang paksa kita untuk kemas meja tapi kita tahu ia sesuatu yang baik untuk dibuat dan akan memudahkan orang lain.

"Jadi pilihan di tangan kita, nak jadi ahli masyarakat yang cemerlang atau tak.

"Kita pun sedia maklum pekerja F&B ni selalu overworked dan underpaid, apa salahnya ringankan tangan sedikit untuk membantu, tak rugi pun," ujar sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain