suria

Tak lupa kongsi insiden dron jatuh... jurugambar terjun tasik rugi RM4,000, terfikir binatang berbisa saat sampai air paras leher

Amin (gambar kecil) berkongsi insiden dron terjatuh dalam tasik di Taman Tasik Taiping. Amin berusaha mencari dron di tasik (bulatan merah).

MALANG tidak berbau.

Sebuah dron terhempas ke dalam tasik ketika jurugambar merakamkan sepasang pengantin menggunakan peranti itu.

Satu perkongsian video menunjukkan detik-detik terakhir rakaman menggunakan dron malang itu, sebelum ia terlanggar pokok dan terjatuh ke dalam tasik.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelitup muka punya hal, ramai tak percaya pemuda ini rakam video di Port Dickson tanpa dron... semua 3 visual nampak lain - "Paling nervous kalau masuk air"

ARTIKEL BERKAITAN: Macam drama Korea... lelaki ini tak sangka rakaman dron bersama isteri dikata seperti 'Hometown Cha-Cha-Cha' - "Terkejut tiba-tiba kena hon"

Bercakap kepada mStar, jurugambar sambilan itu, Nurul Amin Jamaluddin memberitahu, insiden berlaku ketika sesi penggambaran foto dan video di Taman Tasik Taiping di Taiping, Perak, pada Julai tahun lalu, dan baru dikongsinya di aplikasi TikTok.

Pemuda berusia 36 tahun itu berkata, konsep rakaman bermula secara dekat (close up) pengantin dan dron diterbangkan untuk menampakkan pemandangan keseluruhan tasik.

"Ketika rakaman dibuat, saya bersembunyi di sebalik pokok dekat pengantin bagi mengelakkan diri saya turut dirakam dron. Saya tengok rakaman menerusi telefon.

"Tiba-tiba saya terkejut pengantin lelaki menjerit beritahu dron jatuh. Saya lambat perasan kerana rakaman dron yang keluar di telefon lewat beberapa saat," katanya ketika dihubungi.

dron jatuh tasik 9

Detik terakhir sebelum dron milik Amin terjatuh ke dalam tasik.

Mengimbas kembali detik cemas itu, Amin mengakui dirinya panik dan bergegas ke seberang tasik untuk mendapatkan dron yang sebelum itu diterbangkan secara mengundur.

"Tasik tu besar, dan nak ke seberang agak jauh. Jadi saya menaiki kereta untuk ke sebelah tasik bagi mencari lokasi dron jatuh berdasarkan rakaman terakhir.

"Sah, dron terjatuh dalam tasik. Tanpa fikir panjang, saya hanya tanggalkan kasut dan terus terjun ke dalam tasik untuk cari dron," ujarnya yang berasal dari Kuching, Sarawak.

dron jatuh tasik 3

Insiden berlaku ketika rakaman foto dan video pengantin.

Menurut jurugambar yang berpengalaman selama 11 tahun itu, dia berusaha mencari di kawasan radius lokasi dron terhempas dengan air tasik di paras leher.

"Tiba-tiba saya terfikir kalau ada ular atau binatang berbisa lain dalam tasik. Saya kemudian cepat-cepat naik kembali ke darat selepas puas mencari tapi tak jumpa dron tu.

"Sebenarnya saya tak tahu berapa dalam air tasik tu. Tapi saya yakin boleh berenang, itu yang saya terus terjun ke dalam tasik nak selamatkan dron," kata bapa empat anak itu.

dron jatuh tasik 2

Taman Tasik Taiping merupakan lokasi pilihan untuk penggambaran foto dan video pengantin.

Amin berkata, dia mengakui kecewa kerana dron berharga kira-kira RM4,000 tidak dapat dijumpai selepas terjatuh ke dalam tasik.

"Frust sebab kena tanggung kerugian akibat dron jatuh. Tapi saya tetap rakam video pengantin menggunakan kamera.

Sebenarnya saya tak tahu berapa dalam air tasik tu. Tapi saya yakin boleh berenang, itu yang saya terus terjun ke dalam tasik nak selamatkan dron

NURUL AMIN JAMALUDDIN

"Alhamdulillah, gambar-gambar pengantin pun telah dirakamkan di tasik terlebih dahulu sebelum rakaman video. Beginilah dugaan seorang jurugambar," tambahnya.

Amin yang merupakan warden penjara berkata, dia masih meneruskan khidmatnya sebagai jurugambar sambilan untuk perkahwinan, namun tidak lagi menyediakan servis video.

dron jatuh tasik 11

Amin belajar dari pengalaman lalu. foto Facebook Amin Pictures

"Saya masih belum beli dron baru sebagai ganti. Buat masa ini hanya buat servis foto. Ada pengantin tak kisah kalau rakaman video tanpa guna dron, tapi saya menolaknya secara baik.

"Bagi saya lebih cantik video shoot pengantin kalau ada dron. Macam tak lengkap kalau tak ada rakaman guna dron... nak beri servis, mesti yang terbaik dan puas hati," ujarnya.

Jurugambar itu bagaimanapun tidak serik dengan insiden yang menimpanya, malah masih berkunjung ke Taman Tasik Taiping untuk sesi penggambaran foto bersama klien.

"Taman Tasik Taiping memang port cantik untuk ambil gambar pengantin. Setiap kali datang ke sini bersama klien, saya akan cerita kisah dron saya terjatuh dalam tasik.

"Selepas ni saya tak akan bergantung kepada telefon 100 peratus untuk tengok rakaman dron, lebih-lebih lagi kalau rakaman tu mengundur. Belajar dari pengalaman," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain