suria

Penangan 4 tahun tak jumpa... Menyamar runner kek, berlakon beli pokok keladi siap tawar-menawar tapi si ibu masih tak cam

Lakonan suami Che Azura untuk memberi kejutan kepada ibunya di Sipitang, Sabah, baru-baru ini.

RINDU yang terpendam di dalam dada selama empat tahun akhirnya terungkap!

Begitulah kata-kata sesuai bagi menggambarkan pertemuan penuh hiba antara si anak dan ibunya ketika dia bersama keluarganya berpeluang pulang ke kampung halaman di Sipitang, Sabah, baru-baru ini.

Menerusi video yang dikongsikan di aplikasi TikTok, lelaki berkenaan sempat menyamar sebagai 'runner' kek demi memberi kejutan kepada ibu tersayang.

ARTIKEL BERKAITAN: Mak ayah terkejut petugas kesihatan terjah rumah nak buat swab test, kasihan... dahaga siap minta minuman - “Memang tak kantoi langsung”

ARTIKEL BERKAITAN: Ingatkan dapat kerusi baharu, rupa-rupanya nenek buka bonet disergah 3 cucu! Lega plan kejutan menjadi, nasib baik ibu tak pengsan - "Jenuh nak jawab nanti"

Yang pastinya, lakonan si anak benar-benar menjadi kerana si ibu langsung tidak perasan suara mahupun susuk tubuh si anak sehinggalah rahsia 'dibocorkan'.

"Surprise buat mama yang jauh di Sabah. Setelah empat tahun kami tak balik kampung... akhirnya kami bertemu. Sedih dalam gembira," demikian kapsyen pada perkongsian berkenaan.

Sehingga kini video penuh menyentuh hati itu meraih lebih 260,000 jumlah tontonan selain dibanjiri dengan komen netizen yang turut sama merasa syahdu melihat drama dua beranak itu.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Che Azura berkata, lelaki di dalam video berkenaan adalah suaminya, Jamri Alias.

"Dah empat tahun kami tak balik Sipitang. Kalau ikutkan, kami biasanya balik kampung tibanya musim raya secara bergilir. Sepatutnya kami balik raya pada 2019, tapi mama dan adik ipar mahu bercuti di Kuala Lumpur pada awal tahun 2020.

sipitang 4

Che Azura bersama ibu mentuanya.

"Jadi kami tak jadi balik, biarlah bertemu di Kuala Lumpur saja. Ditakdirkan, tahun 2020 Covid-19 pula menyerang... mama dan adik ipar tak dapat datang dan tiket yang mereka dah beli awal beberapa bulan burn macam tu saja.

"Kemudian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula... tertunda beberapa kali perancangan, akhirnya awal November baru-baru ini kami suami isteri dan dua anak dapat terbang ke kampung," ujar wanita berusia 36 tahun ini.

Bercerita mengenai kejutan yang dilakukan kepada ibu mentuanya, Che Azura berkata semuanya dirancang secara spontan dengan bantuan sepupu dan adik bongsu suaminya.

sipitang 3

Kejutan suami Che Azura (kiri) untuk ibunya dirancang bersama adik bongsu (kanan).

"Kalau ikutkan, kami nak terbang ke Sabah pada Februari 2022. Tapi tiba-tiba masa saya check tiket baru-baru ni, harganya murah. Jadi tak fikir panjang, terus beli. Kiranya tiket tu dibeli seminggu sebelum flight.

"Bila dah confirm beli tiket, suami plan dengan adik bongsu dan sepupunya. Itulah timbul idea jadi runner cake. Memang menjadi seperti dirancang, mama tak perasan langsung yang hantar kek tu anak dia.

"Suami pun kemudian teruskan lakonan, konon-konon nak beli pokok keladi sebab mama ada jual. Saya pula sebelum tu duduk dalam kereta, kemudian turun sebab ingatkan dah kantoi.. tapi rupa-rupanya lakonan masih berjalan. Suami berlakon siap tawar menawar harga keladi lagi.

Memang menjadi seperti dirancang, mama tak perasan langsung yang hantar kek tu anak dia.

CHE AZURA

"Pun mama tak cam saya... dia cuma tanya saya siapa, suami pun cover dan beritahu saya isterinya dari Kuala Lumpur. Akhir sekali, adik ipar suruh mama tengok betul-betul, barulah mama sedar kami ni anak dan menantunya," ceritanya.

Bercerita lebih lanjut, Che Azura berkata suami sememangnya rapat dengan ibunya memandangkan dia merupakan anak lelaki bongsu dalam keluarga.

"Tambahan pula kami merantau jauh juga di Ampang, Selangor. Suami ni sejak beli tiket, hari-hari dia countdown hinggalah tiba hari kami berlepas.

sipitang 1

Menghantar ibu mentua mengerjakan umrah beberapa tahun lalu.

"Alhamdulillah, kejutan kepada mama menjadi. Sebak bila tengok kerinduan suami dan mak mentua terubat akhirnya. Tapi mama marah juga... dia tak suka surprise sebab dia tak sempat sediakan hidangan awal-awal. Tahu-tahu je kami sampai.

"Nampaklah wajah suami happy. Selain rindu dengan mama, dia juga rindu dengan air tangan mama. Tapi pasti setiap kali kami pulang, mama dan keluarga request nak rasa air tangan saya juga.

"Antaranya nasi lemak, nasi ayam... mereka suka hidangan dari Semenanjung, lebih-lebih lagi lauk pantai Timur sebab saya asal dari Kota Bharu, Kelantan," ujarnya lagi.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Che Azura berkata rakaman tersebut dilakukan semata-mata mahu diabadikan sebagai kenangan lebih-lebih lagi mereka sudah bertahun tidak bertemu.

sipitang 2

Gambar ketika kali terakhir pulang ke Sabah pada 2017.

"Memang tak jangka viral sebab saya pun tak edit beriya. Lagu pun main bubuh asal ikut mood. Ramai yang komen tu orang Sabah juga. Ada yang sedih sebab belum berkesempatan pulang kerana kekangan tertentu antaranya kewangan. Ada yang lapan tahun tak balik... saya pula yang sedih membacanya.

"Mungkin ada yang tak faham, nak balik ke Sabah ni banyak kos sebenarnya. Kalau orang yang ada duit, senang. Kalau makan gaji, nak kena mengumpul dulu. Jadi, janganlah senang-senang cakap kenapa sampai bertahun-tahun tak balik.

"Siapa yang tak nak balik kan? Mesti semua nak balik, tapi ikut situasi masing-masing. Saya doakan anak perantau agar dimurahkan rezeki dapat jumpa mak ayah serta keluarga tak lama lagi," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain