suria

Apa salah Mona? Gadis kongsi kisah ‘tragis’ kambing peliharaan disisih sang ibu, terpaksalah dilayan macam bayi... hisap susu botol, pakai pampers!

Aksi nakal dan comel Mona mencuit hati netizen.

GELAGAT seekor anak kambing yang diberi nama Mona ini mencuit hati warga maya yang terhibur dengan pelbagai aksi 'nakal' yang dilakukan haiwan tersebut.

Malah ada antara video Mona yang seringkali dikongsi oleh Nur Ashikin Abdul Manap, 20, ditonton hampir 1.5 juta kali di laman TikTok.

Berkongsi cerita dengan mStar, Ashikin, bagaimanapun mendedahkan kisah sedih yang menimpa Mona yang mempunyai tiga adik beradik.

"Mona ni memang sejak kecil maknya tak suka, susu pun mak Mona tak nak bagi, dia layan yang lagi dua ekor anak saja.

"Jadi kami terpaksa bagi Mona minum susu tepung dalam botol," katanya yang menetap di Kampung Pokok Jenerih, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas berpecah dengan geng lelaki, grup gadis cuak geng anjing pula ‘escort’ ketika hiking - “Saya perasan ekor mereka goyang-goyang”

ARTIKEL BERKAITAN: “Kenapa la membazir” - Comel! Mak tok mula-mula je malu dibelikan skuter elektrik, tak tunggu lama minta cucu ajar ‘ride’

Akibat disisihkan ibunya itu, keadaan fizikal Mona yang hidup bergantung kepada susu formula dilihat jauh lebih kecil berbanding dua adik beradiknya.



Ada antara video Mona yang mendapat hampir 1.5 juta tontonan.

Menurut Ashikin, Mona yang kini berusia lima bulan itu juga lebih manja dengan dirinya serta ahli keluarga yang lain.

"Kambing ni menghiburkan... cuma Mona dia manja dengan kami sebab mak dia suka 'buat' (pukul) dia.

"Tapi dalam masa sama Mona ni pun memang buas sejak kecil lagi, dah besar ni lagi buas," katanya.

Tapi mereka ni semua kambing abah mak saya, kalau kena jual saya reda, tapi tipulah saya tak sedih.

NUR ASHIKIN ABDUL MANAP

Menurut Ashikin, Mona sering minta untuk dikeluarkan dari kandangnya.

"Dia selalu nak kita usap kepala dia. Bila dah keluar kandang tu, dia akan makan pokok orang, mula la mak saya marah lepas tu mak suruh kurung balik," selorohnya.

Bukan itu sahaja, Mona juga kadangkala ingin ikut tinggal di dalam rumah tuannya.

"Ada video tu, dia nak masuk rumah jadi mak suruh pakaikan dia pampers sebab dia suka kencing merata," jelasnya, menambah selain Mona, mereka sekeluarga mempunyai hampir 30 ekor kambing lain.



Mona sering minta untuk dikeluarkan dari dalam kandang.

Selain Mona, seekor lagi kambing kesayangan Ashikin adalah Saat.

"Saat manja sebab dari kecil kami dah mula bawa dia keluar dari kandang, maknya tak mengembek, kalau ibu lain bila kita bawa anak dia keluar, dia akan mengembek macamlah kita nak sembelih anak dia.

"Saat ni masa kecil kadang-kadang adik akan bawa keluar naik motor, sekarang dah besar tak boleh nak bawa naik motor dah la," katanya.



Saat sewaktu kecil (kiri) dan keadaannya kini (kanan).

Menurut Ashikin, walaupun sayangkan kambing-kambingnya, dia bagaimanapun reda sekiranya satu hari nanti ibu dan bapanya ingin menjual haiwan kesayangannya suatu hari nanti.

"Sekarang Mona masih kecil lagi jadi saya belum rela.

"Tapi mereka ni semua kambing abah mak saya, kalau kena jual saya reda, tapi tipulah saya tak sedih," katanya.

Ashikin turut berkongsi pengalaman hibanya apabila kehilangan seekor lagi kambing kesayangannya yang bernama Bubu beberapa tahun dahulu.

"Setakat ni tak ada lagi kambing kesayangan saya yang dijual tapi 'kehilangan' sebab mati dah pernah.

"Bubu masa tu dah besar macam Saat, kami jumpa dia dalam keadaan leher dia tergantung pada tali.

"Menangis saya masa tu," ceritanya yang juga memiliki kucing peliharaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain