suria

Ibu ziarah kubur anak kesayangan setiap Jumaat, cucu buat drama sedih pula dibawa ‘jumpa’ arwah - “Ajiq kata mak long datang dan senyum”

Ajiq sanggup bangun awal pagi selepas mendapat peluang menziarahi kubur ibu saudaranya baru-baru ini. Gambar kanan, Ajiq ketika kecil didukung oleh arwah mak long.

"JAUH di mata, tetapi dekat di hati," itulah ungkapan yang sesuai menggambarkan hubungan seorang kanak-kanak dengan ibu saudaranya yang telah lama pergi.

Satu rakaman tular memaparkan kanak-kanak lelaki berkenaan sedang berborak di tepi kubur dan menantikan jawapan daripada arwah ibu saudaranya cukup menyentuh hati sesiapa yang melihatnya.

"Mak long Ajiq datang ni, Ajiq dah besar dah, dah nak masuk darjah 1... Ajiq handsome tau," dia bercakap di tepi pusara tetapi kemudian bertanya adakah ibu saudaranya itu mendengar percakapannya dan akan keluar dari kubur.

Video tersebut setakat ini meraih hampir 40,000 tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa hidap kanser, ibu diserang strok... bantuan JKM hanya RM300 sebulan, mujur dikelilingi insan prihatin nasib dua beradik terpelihara

ARTIKEL BERKAITAN: Berani kerana bisnes... wanita satu mata kumpul semangat tonjol diri di media sosial! Dulu sering diejek budak lelaki tapi jodoh kan rahsia Yang Esa

Berkongsi cerita kepada mStar, adik arwah, Murni Aimi Marlina Kaharuddin, 35, berkata, anak saudaranya, Muhamad Amar Haziq, yang baru berusia enam tahun sudah lama mahu menziarah pusara ibu saudaranya.

Menurut Murni Aimi Marlina, dia dan ahli keluarga lain sering menziarahi kubur arwah kakaknya, Ida Julie Zulieka selama tiga tahun berturut-turut sejak dia meninggal dunia pada 6 September 2018 pada usia 42 tahun.

“Kami memang akan ziarah kubur arwah setiap hari Jumaat, dah tiga tahun tanpa gagal. Tapi sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kali terakhir dapat ziarah adalah seminggu sebelum hari raya.

“Sehinggalah Jumaat lepas baru dapat ziarah semula. Ajiq teruja nak ikut ziarah kubur arwah mak long dia, sanggup bangun awal pagi sebab nak pergi.

GDFGDFG

Ajiq (gambar kiri) merupakan cucu sulung dalam keluarganya

“Ajiq selalu tanya kenapa kereta mak long ada tapi orangnya tiada? Mak long tidur dalam kubur tu lama ke? Bila dia nak keluar?” katanya yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik ini, arwah kakaknya mengalami kegagalan buah pinggang setelah lima bulan berkahwin. Kemudian keadaannya menjadi semakin teruk setelah hatinya juga rosak yang menyebabkan dia meninggal dunia.

“Pada mulanya doktor detect kakak ada kegagalan buah pinggang tetapi masih lagi berfungsi, namun dia jadi semakin kritikal bila hatinya mengalami rosak teruk. Kami sekeluarga serta suaminyalah yang bergilir-gilir menjaga kakak sewaktu dia sakit.

“Arwah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang, jam 9.05 malam pada 6 september 2018.

IMG_8992

Aimi (kiri) sering membawa ibunya ziarah ke kubur arwah kakaknya pada setiap Jumaat selama tiga tahun berturut-turut.

“Kakak ni seorang yang prihatin tentang keluarga dan tegas orangya. Dialah pemegang rahsia besar adik beradik dari pengetahuan mak ayah dan penyelesai segala masalah adik beradik.

“Mak paling terkesan dengan pemergian kakak sebab arwah anak sulungnya dan yang paling rapat dengan dia," katanya.

Mesra disapa Aimi, katanya, Ajiq yang merupakan anak abangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan arwah kakaknya kerana dia merupakan cucu sulung dalam keluarga.

Dia masih ingat lagi bagaimana mereka terpaksa meninggalkan Ajiq untuk dijaga oleh kenalan keluarga sewaktu kakaknya berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Ajiq merupakan cucu sulung dalam keluarga dan kakak pula belum dikurniakan zuriat sepanjang dua tahun berkahwin, jadi sebab itulah dia rapat dengan mak long.

Apa-apa pun kita kena belajar terima kenyataan tapi bukan melupakan.

MURNI AIMI MARLINA KAHARUDDIN

"Waktu kakak sakit tu dia asyik menangis sebab nak sangat jumpa dengan mak longnya. Ketika ibunya nak ambil Ajiq di rumah kenalan keluarga kami, Ajiq ada beritahu bahawa mak longnya ada datang dan dia tersenyum.

"Ajiq cerita yang mak long dia pesan suruh jaga uwan (nenek) dan menjadi budak yang baik. Budak-budak mana reti tipu kan?" ujarnya.

Aimi yang bekerja sebagai pembantu pemasaran di sebuah restoran di Nilai dan masih bujang berkata, mereka sekeluarga sering menziarah kubur kakaknya di Tanah Perkuburan Islam Pekan, Nilai sebagai terapi jiwa buat ibu mereka.

Tambahnya lagi, ibunya, Samsiah Ahmad, 68, sehingga kini masih bersedih dengan pemergian anak sulungnya.

"Kami memang selalu ziarah kubur arwah kakak kerana ia sebagai salah satu terapi jiwa buat mak saya juga. Mak mana yang tak sedih dengan kehilangan anak kan?

IMG_8905

Arwah Ida (dua, kiri) merupakan seorang yang sangat prihatin tentang keluarganya.

"Sudah pasti ia merupakan suatu ketentuan yang sangat pedih untuk diterima. Walaupun begitu, kita kena juga tempuhi kehilangan tersebut.

"Orang nampak kita gembira tapi dalam hati ni diri sendiri je yang tahu betapa sakitnya bila hilang orang yang tersayang. Apa-apa pun kita kena belajar terima kenyataan tapi bukan melupakan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain