suria

Result belum keluar, dah dipanggil ‘cikgu’! Anak berdebar tunggu bapa balik nak semak UPU online sama-sama - “Memang ada rasa macam tak dapat”

Shu (gambar, kanan) menyemak keputusan UPU bersama keluarganya di rumah.

"SETIAP hari abah panggil saya cikgu," itulah kata-kata seorang gadis yang bakal bergelar pendidik generasi akan datang.

Menerusi rakaman yang dimuat naik oleh kakaknya, gadis berkenaan dilihat sedang menyemak keputusan Unit Pengambilan Universiti (UPU) bersama keluarga seterusnya meraikan kejayaannya bersama-sama.

Video tersebut meraih hampir 110,000 tontonan di aplikasi TikTok dan rata-rata tumpang gembira melihat kegembiraan mereka anak beranak.

ARTIKEL BERKAITAN: Sukar nak percaya... Anak kesunyian, sebak kenang ibu pergi selepas 17 tahun derita masalah injap jantung - “Keadaan dah berubah”

ARTIKEL BERKAITAN: Birthday anak, tapi bapa dapat hadiah! Suri rumah tak sangka mampu hadiahkan kereta Honda walau tak sampai setahun jual ubat kurus

Bercerita lebih lanjut, Shuhaibah Sashim@Hashim, 20, berkata, dia menunggu sehingga bapanya, Sashim@Hashim Hamza, 56, pulang dari kerja untuk sama-sama menyemak keputusan UPU secara online di rumah mereka di Sungai Udang, Melaka.pada petang Rabu.

Tambahnya lagi, sebelum ini bapanya sering bertanya kepadanya bila keputusan itu akan dikeluarkan.

"Sebenarnya keputusan semakan saya untuk ke universiti awam boleh disemak pada pukul 12 tengah hari. Tetapi malam sebelum keputusan diumumkan saya telah berjanji dengan abah untuk semak bersama selepas dia pulang dari kerja pada jam 3.30 petang.

IMG_9052

Shu mengalirkan air mata gembira apabila berjaya melanjutkan pelajaran ke Upsi.

"Jadi selepas abah pulang dari kerja saya terus semak bersama dan rakam video kerana momen tersebut sangat berharga... saya tahu abah tak sabar setiap hari dia tanya bila keputusan UPU akan dikeluarkan, begitu juga dengan adik beradik yang lain.

"Dia sangat teruja dan tak sabar untuk menunggu, mungkin juga kerana saya adalah puteri bongsunya," katanya sambil menambah bapanya mengusahakan bisnes Sambal Bilis Tok Mi di Melaka.

Mesra disapa Shu, dia mengakui berasa berdebar untuk membuat semakan kerana risau tidak akan mendapat tawaran dalam bidang pendidikan yang merupakan pilihan pertama dan keduanya.

Namun dia bersyukur kerana berjaya terpilih untuk meneruskan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjung Malim, Perak.

"Sebelum keputusan UPU keluar, saya sangat risau dan berdebar sekiranya saya tak mendapat tawaran untuk pilihan pertama dan kedua iaitu dalam bidang pendidikan. Pilihan pertama saya adalah bidang pendidikan di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan kedua adalah Upsi.

"Tetapi saya tak kisah UKM atau Upsi asalkan ia bidang yang sama iaitu pendidikan. Memang ada perasaan macam tak akan dapat sebab bidang ini sangat mencabar dan ramai pelajar hebat memohon jurusan yang sama.

"Alhamdulillah saya sangat bersyukur kerana telah terpilih untuk menyambung pengajian dalam bidang yang saya minat. Saya dapat banggakan dan menggembirakan keluarga terutama umi dan abah yang mahu melihat anaknya menjadi seorang pendidik.

IMG_8954

Shu berasa bangga kerana berjaya mencapai impiannya dan membanggakan kedua ibu bapa.

"Sebelum ni memang setiap hari abah panggil saya dengan panggilan 'cikgu' di rumah, mungkin berkat juga kerana selalu panggil saya dengan gelaran itu.

"Keluarga sangat gembira dan ia sangat bermakna bagi saya kerana segala usaha selama ini telah membuahkan hasil. Saya menangis kegembiraan kerana dapat mencapai hasrat umi dan abah saya untuk melihat saya menjadi seorang siswa dan bakal pendidik," katanya.

Menurut gadis kelahiran Kelantan itu, dia merupakan salah seorang calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2020 yang ditunda peperiksaannya akibat pandemik Covid-19.

Pelbagai cabaran yang ditempuhi sepanjang tempoh sesi pembelajaran secara online, namun Shu bersyukur memiliki tenaga pengajar yang komited di Sekolah Menengah Seri Tanjong, Melaka dan memperolehi Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 3.50.

"Saya seorang pelajar lepasan STPM bagi tahun 2020 yang ditunda peperiksaan akibat daripada pandemik Covid-19 dan apabila PKP dilaksanakan saya menjalani sesi pembelajaran secara online.

"Sepanjang sesi pembelajaran, banyak cabaran yang perlu saya dan rakan rakan hadapi. Tetapi saya sangat bersyukur, guru-guru sangat komited mengajar kami walaupun tak bersemuka.

Buat semua pelajar yang mendapat tawaran menyambung pelajaran di universiti, selamat maju jaya.

SHUHAIBAH SASHIM@HASHIM

"Pada awalnya saya hampir putus asa untuk menyiapkan video penilaian yang ditetapkan oleh pihak universiti kerana terdapat banyak syarat yang perlu diikuti. Namun, sokongan dan dorongan keluarga yang banyak membantu saya dalam menyiapkan video tersebut.

"Saya membuat persediaan awal iaitu dengan menyiapkan teks bagi soalan yang perlu dijawab seminggu awal. Alhamdulillah, video penilaian tersebut berjaya disiapkan dalam tempoh dua minggu," ujarnya yang turut memuatkan sebahagian klip video penilaian tersebut dalam posting videonya yang tular.

Sebagai seorang yang bakal bergelar guru, Shu mahu rakan seperjuangannya kekal bersemangat dalam mendidik generasi akan datang dengan sebaik mungkin.

Anak ketujuh daripada lapan beradik ini juga mengingatkan bahawa adab bersama guru dan ketika belajar perlu dikekalkan walaupun sesi pembelajaran diadakan secara online.

"Besar harapan saya untuk memikul tanggungjawab ini agar dapat mendidik generasi akan datang dengan sebaiknya. Kepada bakal guru di luar sana, selamat menempuh alam pendidikan.

IMG_8957

Shu akan memulakan kelas secara online pada 18 Oktober nanti.

"Semoga kita, bakal guru tetap semangat dan kuat dalam mendidik anak bangsa. Buat semua pelajar yang mendapat tawaran menyambung pelajaran di universiti, selamat maju jaya.

"Walaupun kita menjalani kelas secara online, kuatkan semangat kita semua untuk menempuh alam universiti pada zaman pandemik ini. Adab belajar dan berguru perlu kita amalkan walaupun belajar secara atas talian," katanya.

Kini Shu sedang membuat persediaan untuk mendaftar sebagai pelajar di Upsi pada 11 Oktober dan memulakan kelas secara online pada 18 Oktober.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain