suria

Pemandu Myvi buat hal lagi, rider pun terkedu! Sengaja campak 4 botol kosong, alasannya ‘nanti ada orang kutip’ - “Yang komen kaitkan zina tu jenis nak menang”

Tindakan seorang pemandu Myvi yang mencampakkan botol-botol kosong selepas digunakannya telah dirakam oleh seorang rider. foto Twitter mbimuhammad

SIAPA yang tidak panas hati menyaksikan orang lain selamba membuang sama merata-rata di tempat awam.

Menerusi video berdurasi seminit dan 20 saat yang tular di media sosial, seorang wanita kelihatan sedang mengisi air di bonet kereta Myvi warna putih di kawasan parkir.

Empat botol air yang digunakan wanita berkenaan kemudiannya dicampakkan ke jalan, sebelum ditegur oleh seorang pemuda meminta wanita itu mengutipnya semula.

ARTIKEL BERKAITAN: Berdesup sampai berasap! Ramai 'terpegun' tengok Myvi masih mampu pecut selepas 'meluncur' atas pembahagi jalan

ARTIKEL BERKAITAN: "Myvi ni memang tak boleh behave ke? Hari-hari ada je buat perangai" - Aksi kereta Perodua redah laluan rumput, tak hirau kesesakan lalu lintas bikin ramai bingung

"Tak apalah, nanti ada orang kutip," kata wanita itu sebelum beredar dan membiarkan botol-botol tersebut bertaburan di atas jalan.



Seorang wanita selesai mengisi air di bonet keretanya.

Berkongsi kisah tersebut kepada mStar, pemuda berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Amin berkata, kejadian berlaku ketika dia berehat di kawasan parkir di Seksyen 7 di Shah Alam, Selangor, minggu lalu.

"Saya kerja rider hantar barang. Saya duduk di situ sebab tengah tunggu order masuk. Lepas tu Myvi putih datang. Saya tengok pemandunya buka bonet untuk isi air.

"Botol pertama dia campak, saya macam nak tegur je terus tapi saya fikir mungkin dia nak letak sekejap je dulu dekat situ," katanya.

Pemuda berusia 23 tahun itu kemudian memutuskan untuk membuat rakaman tindakan wanita itu selepas botol kedua dicampaknya di kawasan parkir.

"Selepas botol kedua dicampak, saya terfikir nak rakam sekiranya dia memang tak nak kutip. Selepas dia selesai isi air, dia tutup bonet dan saya berharap dia kutip balik botol tu.

"Tapi dia terus nak masuk kereta. Itu yang saya tegur. Tak sangka pula jawapan dia macam tu. Saya terkedu tak tahu nak cakap apa," ujarnya sambil menambah wanita berusia 30an itu melakukan perbuatan itu seorang diri.



Pemandu Myvi beredar tanpa mengutip semula botol kosong yang dicampaknya.

Namun, Amin yang berasal dari Kuala Selangor, Selangor mengakui berang dengan wanita itu yang dilihat tidak menunjukkan rasa bersalah atas tindakannya.

"Selama ini banyak kali nampak orang buang sampah dari kereta sesuka hati, tapi tak boleh nak buat apa sebab kereta bergerak. Kali ini jelah sempat tegur sikit.

Kita perlu bertanggungjawab dengan apa yang kita buat. Jangan menyusahkan dan mengharapkan orang lain.

AMIN

"Memang niat saya kalau dia kutip botol tu, tak adalah saya nak post video. Saya tak nak tegur awal sebab tak nak terus bersangka buruk yang dia ni memang nak buang sampah merata-rata.

"Mungkin dia nak letak sekejap dekat bawah sebab botol tu banyak. Itu yang saya tegur selepas sah yang dia tak kutip," katanya yang bekerja sebagai penghantar barang sejak tujuh bulan lalu.



Seorang netizen yang menyamakan tindakannya membuat rakaman itu seperti merakam orang berzina.

Dalam pada itu, dia turut mengulas mengenai komen seorang netizen yang menyamakan rakaman ‘curi-curi’ itu dengan merakamkan perbuatan orang melakukan zina.

"Yang komen kaitkan zina tu dia memang jenis nak menang. Saya biar sajalah, tak terasa hati pun. Lain orang lain pandangan. Terpulanglah dia. Buat macam mana pun tetap akan ada orang tak bersetuju.

"Dalam video tu saya cuba nak tunjukkan yang saya dah cuba tegur dengan baik tanpa kata-kata kesat atau tindakan yang tidak wajar. Bagi saya, kalau dah nampak terang-terang kesalahan tu, tegur dengan baik. Kalau tegur melenting nanti orang kata tak boleh tegur elok-elok ke?" katanya.



Amin menjelaskan bahawa dia telah menegur wanita berkenaan.

Walaupun mungkin terdapat pekerja pembersihan yang bertugas di kawasan sekitar, Amin berkata, sesiapa pun perlu bertanggungjawab dan tidak seharusnya membuat sampah merata-rata.

"Sepatutnya kita perlu bertanggungjawab dengan apa yang kita buat. Jangan menyusahkan dan mengharapkan orang lain. Jadi masyarakat yang prihatin dan tidak mementingkan diri sendiri," katanya yang sendiri mengutip botol-botol tersebut dan membuangnya di tong sampah di sebuah minyak berdekatan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain