suria

Gadis sentap dapat mesej ‘anak kawan ayah dapat 9A’, anggap ia saat paling teruk dalam hidup – “Bukan nak aib, kutuk ayah sendiri tapi...”

Aina dikritik netizen berhubung luahannya mengenai mesej daripada bapanya berhubung keputusan SPM, baru-baru ini.

HATI mana yang tak sedih apabila memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan seperti yang diharapkan.

Perasaan seorang remaja perempuan hancur berkecai sebaik menerima satu mesej daripada bapanya pada hari keputusan peperiksaan tersebut diumumkan.

“Anak kawan ayah dapat 9A,” tulis seorang bapa, meskipun ringkas tapi cukup padat untuk membuatkan hati remaja itu terluka menerusi perkongsiannya di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Gagal 18 kali, belajar 11 semester baru dapat ‘degree’... bakal peguam pernah nak rempuh kereta orang - “Saya bukan slow learner”

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu pernah dapat markah corot 38/100, tapi siapa sangka remaja ini catat keputusan SPM 9A!

Gadis berusia 18 tahun itu memberitahu, dia memperoleh keputusan SPM dengan hanya dua A, dan mengakui kecewa dengan pencapaian tersebut.

Posting Aina berkaitan dengan keputusan SPM.

Hanya mahu dikenali sebagai Aina, mesej ‘9A’ daripada bapanya merupakan respons pertama selepas dia berkongsi keputusan itu menerusi aplikasi WhatsApp.

“Keputusan SPM saya kurang bagus, hanya 2A. Bila dapat mesej ayah macam tu saya rasa sedih dan pedih. Sedikit rasa macam usaha saya tak dihargai.

“Saya cuma nak luahkan rasa sedih tu, perasaan yang paling teruk pernah saya rasa sepanjang hidup 18 tahun ni dan tak sangka tweet tu blow up,” katanya kepada mStar.

Perbualan Aina bersama bapanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Sehubungan itu, Aina menegaskan bahawa dia tidak berpunyai niat untuk mengaibkan bapanya menerusi perkongsian itu di laman sosial.

“Saya bukan nak aibkan atau kutuk ayah sendiri. Ia sekadar perasaan macam saya anak paling teruk sebab dah kecewakan ibu ayah, tak dapat bagi mereka gembira.

“Tapi segelintir netizen cakap saya sengaja nak burukkan ayah. Tidak benar sama sekali... jujurnya, saya langsung tak rasa sakit hati bila dibandingkan,” katanya.

Saya asyik terfikir ‘saya ni teruk sangat ke?’. Tapi tak apalah, memang salah saya. Saya tak berhak untuk menerima sebarang ucapan tahniah pun

AINA

Menurut anak keempat daripada lima beradik itu, dia hanya sedih apabila anak orang lain dapat membanggakan ibu dan bapa mereka, sebagaimana yang diinginkannya.

“Ayah dan ibu sentiasa pentingkan pendidikan. Mereka mahu saya sambung pengajian di peringkat matrikulasi dan menjadi doktor.

“Tapi empat subjek aliran sains yang saya duduki semasa SPM iaitu Fizik, Kmia, Biologi dan Matematik Tambahan tak score, tak ada satu pun dapat A,” ujarnya yang berasal dari Banting, Selangor.

Aina memperjelaskan hal sebenar mengenai perkongsiannya yang dikatakan mengaibkan bapanya.

Aina turut berkongsi kesedihan mengenai bapanya yang bertugas dalam sektor perbankan itu hanya mendiamkan diri sejak keputusan SPM dikeluarkan, Khamis lalu.

“Ayah diam saja bila balik kerja dan saya tak dapat ucapan tahniah daripada ayah dan ibu. Saya sampai menangis dalam bilik dan tak boleh nak fokus semasa kerja.

“Saya asyik terfikir ‘saya ni teruk sangat ke?’. Tapi tak apalah, memang salah saya. Saya tak berhak untuk menerima sebarang ucapan tahniah pun,” katanya sambil menambah sedang bekerja secara sambilan di sebuah restoran.

Namun katanya, mesej ‘9A’ daripada bapanya itu sedikit-sebanyak membakar semangat untuk bangkit dan berusaha demi kejayaan pada masa akan datang.

“Saya berazam nak sambung belajar, masuk universiti boleh buat elok-elok sampai dapat keputusan cemerlang dengan Anugerah Dekan dan mendapat kerja yang bagus, sekali gus boleh membanggakan ayah dan ibu,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
SPM, 9A, ayah

Artikel Lain