suria

Layan pelanggan hingga malam gara-gara jual timun harga tak masuk akal - “Bukan nak aniaya pekebun dan peniaga lain”

Timun di gerai milik Amin dijual pada harga yang cukup murah.

"PERCAYA pada rezeki Allah."

Demikian kata seorang peniaga kedai runcit yang mana kisahnya tular di laman sosial gara-gara menawarkan harga timun yang cukup murah.

Menurut Mt Amin Ridzuan, 29, dia menjual sebiji timun pada harga 10 sen sahaja sejak Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: “Datang semput bila dia ingat hal tu” - Bekas cef tak boleh tidur fikirkan tragedi 4,000 pokok cili musnah

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar kantoi tumbuk cili sambil nyanyi lagu jiwang ciptaan sendiri, malu bukan sebab suara, “Tak pakai baju, segan sikit”

Ia ternyata murah jika dibandingkan dengan harga pasaran hasil tanaman itu, sekitar RM2 atau RM3 sekilogram (kg).

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Amin mengakui tindakannya itu sebagai salah satu cara untuk berkongsi rezeki dengan penduduk sekitar Bagan Serai, Perak.

"Saya dah hampir setahun berniaga kedai runcit. Kali ni ada banyak timun, jadi saya ambil keputusan jual murah-murah depan kedai.

Timun di kedai milik Amin dijual pada harga yang cukup murah. (Gambar Hiasan)

"Timun tu pun yang adik-beradik saya tanam dan usahakan. Saya fikir, apa salahnya berkongsi murah-murah dengan orang kampung dan orang kurang berkemampuan.

"Bila terlampau banyak timun, saya ambil inisiatif macam ni. Bukan nak aniaya pekebun dan peniaga lain. Kalau simpan lama-lama pun akan buruk juga," ujarnya sewaktu dihubungi.

Mengakui tidak sangka kisah timun terlajak murah itu tular di laman sosial, Amin tidak putus-putus dikunjungi pembeli sehingga lewat malam.

Percaya rezeki Allah. Rugi tu adat berniaga. InsyaAllah murah rezeki.

MT AMIN RIDZUAN

PENIAGA

Malah katanya, posting itu pada asalnya hanya ditujukan kepada rakan terdekat yang memerlukan bekalan timun seperti peniaga nasi lemak, sate dan nasi ayam.

"Saya fikir daripada membazir, rosak, baik sedekah. Kalau beli sikit pun saya akan bagi lebih.

"Baru start Isnin, mungkin saya akan teruskan dalam sepuluh hari. Bila viral ramai datang beli sampai malam.

"Mula-mula tu post untuk kawan-kawan yang berniaga je. Ada rezeki lebih, kita kongsi," katanya lagi.

Posting asal yang tular di Facebook.

Biarpun menawarkan harga murah, Amin mengakui tidak gusar mengenai keuntungan kerana percaya dengan ketetapan Allah.

"Percaya rezeki Allah. Rugi tu adat berniaga. InsyaAllah murah rezeki," ujar anak sulung daripada empat beradik itu.

Memulakan perniagaan runcit sendiri sekitar tahun lalu, Amin menawarkan pelbagai barangan basah dan keperluan dapur di kedai runcit miliknya.

Mula dikongsi di Facebook sendiri pada Selasa, posting timun murah Amin turut tersebar secara meluas di laman sosial itu apabila ia dikongsi ramai netizen.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
Mt Amin Ridzuan, timun, kedai runcit

Artikel Lain