suria

Selepas 3 kali kalah, Mufti WP terus buat analisis prestasi Liverpool... ramai ternganga! – “Tak nak invite mufti jadi pengulas sukan ke?”

Analisis Dr Zulkifli mengenai prestasi Liverpool mengkagumkan warga maya.

“MUFTI WP rasanya dah boleh jadi penganalisis dekat Astro Arena ni”

Demikian antara gurauan yang dilontarkan oleh netizen selepas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberikan ulasan berhubung prestasi kelab Liverpool baru-baru ini.

Menerusi satu bebenang di Twitter, Zulkifli mengagumkan warga maya dengan ulasan mengenai kelab kendalian Jurgen Klopp, yang mengalami kekalahan ketiga daripada empat perlawanan terakhir semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: “Taktik halus tuu… cucuk pelan-pelan” – Bukan Liverpool! Tunku Azizah kirim jersi pasukan lain kepada mufti WP, ramai harap Zulkifli tak berpaling tadah

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya 24 jam sebelum aksi Malaysia-Indonesia, Mufti WP temui sesuatu semasa spot check ke Wisma FAM!

Sebelum ini, Liverpool  tewas 0-1 di tangan Atletico Madrid, dan prestasi buruk itu berterusan apabila kecundang 0-3 di tangan Watford, sebelum akhirnya kalah 0-2 kepada Chelsea pada pusingan kelima Piala FA pada Rabu.

“Dunia bola sepak hari ini sedang hangat memperkatakan perihal kekalahan Liverpool sebanyak tiga kali daripada empat perlawanan terakhir mereka. Sesungguhnya keadaan ini telah membuatkan penyokong dan peminat Liverpool seluruh dunia sedih dan kecewa.

“Namun begitu, bagi kami terdapat beberapa noktah penting di sebalik kekalahan ini untuk pasukan Liverpool kembali bermuhasabah dan terus bangkit semula,” tulis Zulkifli yang juga peminat tegar kelab tersebut.

Posting yang dimuat naik oleh Mufti Wilayah Persekutuan itu berhubung analisisnya terhadap prestasi Liverpool.

Mufti itu kemudian menggariskan lima perkara yang perlu diteliti susulan kekalahan The Reds itu.

Menurut Zulkifli, Liverpool hanya memerlukan empat kemenangan dalam liga untuk menjulang kejuaraan.

Tambahnya, faktor jadual perlawanan yang padat dan bukan pemain utama yang bermain, kekalahan Liverpool juga disebabkan kelab tersebut menjadi sasaran seluruh kelab yang menjadi lawan mereka.

“Permainan ultra-defensif dan taktikal serang balas setiap pasukan lawan Liverpool perlu menjadi perhatian dan tumpuan utama pemain serta pasukan kejurulatihan untuk melaksanakan latihan terbaik bagi merencanakan taktikal efektif untuk lebih kreatif mencari gol,” ujarnya,

Sukan bola sepak sesuatu yang penuh kejutan. Bola itu bulat, falsafah yang menatijahkan akan ada pasukan yang menang dan yang kalah. Sesungguhnya ujian selesa dengan kemenangan itu amat berbahaya.

DATUK SERI DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Perkara keempat, menurut Zulkifli, adalah penting untuk diberi penekanan tentang semangat persahabatan dalam sukan bola sepak,

“Saat menang, nikmatilah kemenangan dengan penuh semangat hormat-menghormati. Saat kalah, bertabah dan bersabar serta terus memberi sokongan agar pasukan kita kembali bangkit semula,” ujarnya,

‘Point’ terakhir, Zulkifli  menyifatkan penyokong Liverpool sentiasa bersemangat kental dan terus setia di belakang kelab tersebut sungguhpun di kala nasib tidak menyebelahi mereka.

Zulkifli merupakan peminat tegar kelab Liverpool.

“Penyokong Liverpool terus setia menyokong dan sudah terbiasa menerima berita kekalahan.

“Mereka akan terus memberi sokongan agar pemain mereka bersemangat kembali untuk meneruskan rentak kemenangan sehingga menjulang EPL buat pertama kalinya dalam 30 tahun sesegera yang mungkin.

“Semoga Liverpool tidak terus terleka dan segera bangkit untuk terus menang mengesahkan kejuaraan yang dinanti selama 30 tahun ini.

“Sukan bola sepak sesuatu yang penuh kejutan. Bola itu bulat, falsafah yang menatijahkan akan ada pasukan yang menang dan yang kalah. Sesungguhnya ujian selesa dengan kemenangan itu amat berbahaya,” tulisnya.

Antara komen netizen terhadap perkongsian mufti tersebut.

Posting Zulkifli sehingga kini meraih 1,300 retweet dan 1,700 like.

Malah, ia turut dibanjiri dengan komen netizen yang mengkagumi kebolehan mufti tersebut yang petah berbicara mengenai sukan bola sepak.

“Astro RTM tak nak invite mufti ke jadi tetamu pengulas sukan?? Ulasan mufti hebat hoh,” komen seorang pelayar Twitter.

“Habis la pengulas sukan bila ustaz buat ulasan,” tulis yang lain pula.

“Terbaiklahh tuan mufti. Boleh masuk rancangan bola mamak lepas ni sebagai tetamu jemputan,” komen seorang pelayar lain. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Mufti Wilayah, Liverpool, analisis, kelab

Artikel Lain