iPhone hilang gara-gara tercicir di kedai makan, akhirnya dapat semula selepas dua tahun - “Selepas beri salam, muncul sepasang warga emas, kedua-duanya berkerusi roda” - Viral | mStar

iPhone hilang gara-gara tercicir di kedai makan, akhirnya dapat semula selepas dua tahun - “Selepas beri salam, muncul sepasang warga emas, kedua-duanya berkerusi roda”

Ariff menemui semula telefon bimbitnya yang hilang dua tahun lalu.

SIAPA yang tidak panik atau sedih sekiranya kehilangan telefon bimbit?

Apatah lagi pada ketika ini, telefon bimbit merupakan gajet yang amat penting kerana ia bukan sahaja berperanan untuk menghubungi seseorang, bahkan untuk menyimpan segala macam dokumen.

Lebih menyedihkan sekiranya ia merupakan pemberian seseorang yang amat disayangi dan tersimpan banyak memori, sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh pemuda bernama Ariff ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia raba-raba bawah seluar rasa bentuk petak” - Gigih pusing kampung cari telefon hilang, dua beranak tak boleh lupa insiden ‘kaki curi handphone’

ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa dompet berisi RM1,200, lelaki cerdik ini pilih hanya ‘curi’ data sebelum maklumkan pemiliknya - “Dengar ayat tersebut, lagilah buat saya menangis”

Menurut Ariff, telefon bimbitnya hilang ketika dia menjamu selera di sebuah restoran berdekatan tempat kerjanya, kira-kira dua tahun lalu.

Bagaimanapun hanya baru-baru ini, dia berjaya menemui semula telefon bimbit pemberian ibu kesayangan.

Mengimbas kembali peristiwa kehilangan telefon bimbit tersebut, menurut Ariff ia berlaku sekitar awal tahun 2018 di tempat kerjanya yang terletak di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Posting yang dimuatnaik oleh Ariff menceritakan bagaimana dia menemui semula telefon bimbitnya selepas dua tahun.

“Saya menjamu selera di sebuah restoran yang terletak berhadapan dengan tempat kerja. Masa tu makan seorang. Selepas selesai, saya pun pulang ke pejabat dan ketika itu barulah tersedar yang telefon bimbit model iPhone 6 saya tercicir… memang silap saya juga.

“Saya pun bergegas semula ke restoran tersebut dan pergi ke meja yang saya duduk sebentar tadi. Namun, telefon bimbit tersebut sudah lesap padahal tak sampai lima minit,” kata pemuda berusia 27 tahun ini.

Menurut Ariff, dia sememangnya sentiasa mengaktifkan aplikasi ‘Find My iPhone’ di telefon bimbitnya sebagai persediaan sekiranya berlaku kehilangan gajet tersebut.

Selepas beri salam, muncul sepasang warga emas tua, kedua-duanya berkerusi roda. Sedih pula rasanya. Tapi saya cakap elok-elok, beritahu saya nak ambil barang yang ada di rumah ini.

ARIFF

PEMILIK TELEFON BIMBIT

“Kemudian saya hubungkan dengan satu lagi telefon bimbit saya. Saya kongsi Apple ID yang sama. Namun, setahun lebih saya tak dapat khabar berita langsung tentang telefon tersebut.

“Dalam tempoh itu juga, saya langsung tak ‘wipe’ data yang ada dalam telefon bimbit yang hilang tu.

“Sehinggalah November 2019, saya dapat notifikasi daripada Apple yang memberikan alamat rumah di mana keberadaan iPhone saya yang hilang itu, iaitu di Kulim, Kedah,” ujarnya yang kini bekerja di sebuah syarikat swasta di Cyberjaya.

Cerita Ariff lagi, memandangkan baru-baru ini dia mempunyai urusan kerja di Pulau Pinang, dia mengambil kesempatan itu untuk pergi mencari telefon bimbitnya berdasarkan alamat yang diberi menerusi notifikasi daripada Apple.

Notifikasi yang diterima oleh Ariff daripada Apple yang memberikan alamat keberadaan telefon bimbitnya yang hilang.

“Walaupun dalam hati merasakan peluang untuk dapat semula telefon bimbit itu agak tipis, tapi saya cuba saja. Saya tiba di rumah berkenaan kira-kira pukul 7 malam.

“Selepas beri salam, muncul sepasang warga emas tua, kedua-duanya berkerusi roda. Sedih pula rasanya. Tapi saya cakap elok-elok, beritahu saya nak ambil barang yang ada di rumah ini, dan saya tanyakan jika mereka ada anak yang dewasa sebab ada budak-budak saja waktu itu.

“Mereka kata, anak mereka bekerja dan akan pulang pukul 10 malam. Saya pun putuskan untuk menunggu, memandangkan sudah datang dari jauh,” ujarnya.

Ariff berkata, sementara menunggu kepulangan anak kepada pasangan berkenaan, dia pergi ke balai polis untuk membuat laporan.

“Sebenarnya, untuk kes seperti ini, boleh buat laporan. Polis itu beritahu nanti akan ada seorang pegawai yang akan menemani saya ke rumah berkenaan kemudian.

“Selepas buat laporan, saya berasa macam tak sedap hati pula. Sebab saya rasa terlalu gelojoh, dalam masa yang sama agak kasihan pula dengan suami isteri tadi.

“Jadi dalam pukul 9 malam, saya pergi ke rumah itu bersendirian dan hendak dijadikan cerita, anak mereka sudah pulang. Saya pun tanya elok-elok tapi dia tak tahu menahu pula.

“Saya pun beritahu, saya sudah buat laporan polis dan nanti polis akan tiba. Apa pula kata jiran-jiran nanti. Lalu adik-adiknya pun cari di dalam rumah, dan memang akhirnya telefon bimbit saya ditemui,” ujar pemuda itu.

Perkongsian Ariff mengenai kaedah yang digunakan untuk mengesan telefon bimbitnya. 

Menurut Ariff, dia kemudian pergi semula ke balai polis untuk membatalkan laporan yang dibuat sebelum itu.

Tambahnya, dia enggan menuduh mana-mana pihak kerana apa yang penting, telefon bimbitnya sudah ditemui.

“Apapun, saya bersyukur sangat sebab telefon bimbit sudah dijumpai. Mungkin sesetengah orang lihat iPhone model tersebut sudah turun nilainya, namun bagi saya ia sangat bernilai kerana ia hadiah daripada ibu.

“Tambahan pula, banyak gambar kenangan dalam telefon tersebut yang saya tak sempat buat back-up. Bila jumpa, memang bersyukur sangat.

“Apa yang boleh saya katakan, pengguna iPhone dinasihatkan untuk aktifkan notifikasi dan aplikasi ‘Find My Iphone’. Lagi satu, kalau anda rasa telefon itu berharga, maka tak salah untuk kita ambil semula,” katanya mengakhiri bicara. 

iPhone , hilang , tercicir , kedai makan

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain