suria

Siang rasa lucu tengok banjir ‘telan’ motosikal, malam barulah pemiliknya bergenang air mata - “Seminggu ini akan jadi tempoh berkabung”

(kiri) Motosikal jenis skuter milik Muhammad Afifi. (kanan) Motosikal miliknya ditenggelami air hanya kelihatan cermin sisi. Foto ihsan Muhammad Afifi

SIAPA sangka video yang dirakamkan seorang pelajar menerusi aplikasi Insta Story yang pada awalnya dilihat lucu bertukar menjadi drama sedih.

Menerusi video yang tular media sosial, nasib malang menimpa pelajar tersebut apabila motosikalnya ditenggelami air ekoran hujan lebat.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya terketaq-ketaq tak pernah dapat hadiah” - Itulah hikmah pemuda berhutang beri makan haiwan jalanan

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa 'singa' habis kalau marah tapi di sebalik motor macam siput dikata hilang, tiba-tiba abah sebak “Banyak masa abah hanya di jalan sebab nak cari rezeki”

ARTIKEL BERKAITAN: Hebatnya kamu! Umur baru 20 tahun dah ada motosikal ala Iron Man, “Kalau tekan butang, keluar suara bersedia tuan!”

Hanya mahu dikenali sebagai Muhammad Afifi, pelajar berkenaan memberitahu, kejadian berlaku di luar fakultinya di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (ITPS) di Perak, petang Isnin lalu.

Tangkapan skrin video motosikal milik Muhammad Afifi kira-kira 10 minit sebelum ditenggelami air.

Pelajar berusia 21 tahun itu berkata, dia sempat melihat keadaan motosikalnya yang dibasahi hujan di kawasan parkir semasa keluar ke tandas pada kira-kira pukul 4.55 petang.

“Tapi 10 minit kemudian, ada kakitangan universiti masuk ke kelas kami dan beritahu pasal banjir di luar fakulti... ada beberapa kenderaan ditenggelami air.

“Saya kemudian cepat-cepat tengok luar, dan masa tu hanya Tuhan saja yang tahu betapa terkejut dan terkedunya saya apabila melihat motosikal saya yang tadi hanya basah kena hujan, terus tenggelam tinggal nampak cermin sisi,” katanya kepada mStar.

Muhammad Afifi benar-benar tidak menyangka dalam waktu singkat 10 minit, perkarangan fakultinya ditenggelami air, dan selepas itu dia segera mengalihkan motosikalnya kerana bimbang akan menyebabkan kerosakan enjin. 

Muhammad Afifi (baju hitam) bersama rakannya mengambil alih motosikal yang ditenggelami air.

Dari sudut hati, anak muda ini sebenarnya berasa terkilan kerana tidak cuba mengalihkan motosikalnya itu ke tempat lebih selamat kerana kejadian banjir tidak pernah berlaku sejak menyambung pengajian di universiti itu tiga tahun lalu.

“Masa mula-mula tengok hujan lebat, saya memang berasa tak sedap hati. Tapi saya tak fikir secara serius sebab tak pernah lagi banjir di kawasan tu.

“Bukannya saya malas nak alihkan motosikal sebagaimana yang dikecam hebat oleh warganet. Kejadian seumpama ini pertama kali berlaku,” katanya sambil menambah tidak menolak pembinaan di kawasan berhampir menjadi punca insiden banjir itu.

Mulanya memang rasa kelakar sebab tak sangka motosikal boleh tenggelam macam tu. Tapi bila fikir balik, rasa sedih sangat sebab tu hadiah daripada mak

MUHAMMAD AFIFI

Namun apa yang membuatkan pemuda berasal dari Rawang, Selangor itu lebih terkilan adalah motosikal jenis skuter itu merupakan hadiah pemberian ibunya.

“Saya memang rapat dengan ibu dan motosikal tu adalah hadiah pemberian ibu pada April 2018. Memang saya sayang sangat dengan motosikal tu.

“Semalam (Selasa) saya ada minta mekanik periksa motosikal dan saya dinasihatkan untuk biarkannya tanpa digunakan selama seminggu bagi mengurangkan kerosakan dalaman. 

“Seminggu ini akan menjadi tempoh berkabung buat saya sebab selama ni saya akan menggunakan motosikal tu untuk ke mana-mana,” katanya sambil menambah buat masa ini akan meminjam motosikal atau menumpang kenderaan rakan.

Insiden motosikal hadiah pemberian ibu ditenggelami air memberi kesan mendalam.

Mengakui kejadian tersebut dijadikan bahan lucu dalam kalangan warganet termasuk segelintir rakan-rakan, tetapi ia memberi kesan yang mendalam pada diri anak bongsu daripada empat beradik itu.

“Mulanya memang rasa kelakar sebab tak sangka motosikal boleh tenggelam macam tu. Tapi bila fikir balik, rasa sedih sangat sebab tu hadiah daripada mak.

“Bila dah malam atau masa teringatkan balik kejadian tu buat saya termenung jauh sampai kawan-kawan tegur. Saya sampai bergenang air mata bila ingat balik motosikal itu adalah hadiah daripada mak. Siapa tak sayang mak kan?” katanya sambil berharap motosikalnya itu dapat dibaiki segera dan digunakan semula.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
banjir, mak, skuter, motosikal, ipts

Artikel Lain