"Arwah dah ready, dah ada baju untuk lima bulan, tapi photoshoot hanya bayangan bersama keluarga" - Viral | mStar

"Arwah dah ready, dah ada baju untuk lima bulan, tapi photoshoot hanya bayangan bersama keluarga"

Teknik suntingan berjaya membuatkan Ad'lean seolah-olah ada bergambar bersama keluarganya. Foto ihsan Camora Arts

IBU muda ini pernah meluahkan hasrat untuk melakukan sesi photoshoot bersama anak bongsunya dua minggu selepas bersalin.

Namun kita hanya merancang tapi Tuhan yang menentukan segalanya.

Hajat Ad'lean Mohd yusof untuk mengabadikan potret keluarga bersama anak bongsunya yang baru lahir, Eva Miranda tidak kesampaian apabila dia menemui pencipta-NYA sejurus selepas bersalin pada 19 November lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pagi nikah, subuh dijemput Ilahi

ARTIKEL BERKAITAN: "Hanya pulang pegang tangan arwah" - Anak ziarah jenazah ibu sebaik sedar dari koma, tenang 'tonton' pengebumian dari hospital

Namun hasrat Ad'lean telah dimaklumkan kepada suaminya, Wazy oleh Zara Haleena, pemilik dan prinsipal Camora Arts yang menawarkan perkhidmatan fotografi bayi baru lahir.

"Sebenarnya hubungan saya dan Ad'lean amat rapat sebab dia sering menggunakan khidmat kami sebelum ini. Lepas photoshoot maternity pada September lalu, dia beritahu teringin nak buat photoshoot baby Eva.

Wazy, suami kepada Ad'Lean mendukung Eva Miranda. Foto ihsan Camora Arts

"Dia suka bercerita dan beritahu dah buat satu baju ala-ala Sultan Diraja. Dia asyik cakap nak buat family shoot. Saya cakap boleh tak jadi masalah. Dia pun dah tempah everything tapi tak ada rezeki, tak sangka dia pergi dulu.

"Jadi saya pun beritahu suami dia Wazy sampaikan pesanan isterinya. Sepatutnya photoshoot dua minggu selepas dia bersalin tapi suaminya cakap nanti dulu, mungkin masih bersedih. Itu yang kami buat masa Eva umur lima bulan," kata Zara ketika dihubungi mStar pada Selasa.

Menurut Zara, Ad'lean meninggal dunia akibat komplikasi semasa bersalin.

"Saya diberitahu staf arwah nama Intan, dia meninggal masa bersalin. Dia bersalin secara pembedahan dan baby lahir tak cukup bulan.

"Mungkin ada komplikasi dan berlaku pendarahan selepas melahirkan anak bongsunya itu.

"Ad'lean pernah beritahu kehamilannya kali ini agak mencabar. Dia tak boleh nak bergerak sangat asyik muntah. Sepanjang kehamilannya itu, dia banyak duduk dalam bilik," katanya.

Zara berkata sepanjang tempoh tersebut wanita berusia awal 30-an itu menyediakan segala keperluan untuk anak keempatnya itu.

"Sebelum meninggal tu Intan (staf Ad'lean) beritahu arwah sepanjang masa duduk di bilik. Dia beli barang-barang keperluan Eva, semua tu dia letak dalam kotak.

Arwah Ad'lean meninggal dunia semasa bersalin anak bongsunya. Foto ihsan Camora Arts

"Boleh kata tak ada pun yang kurang, semua cukup. Keluarga cuma kena beli susu tepung (formula)... yang lain semua dah sedia.

"Saya sendiri pun terkejut kerana bila baby Eva dah umur lima bulan, dia dah ada baju untuk lima bulan. Arwah memang dah ready dan seolah-olah dah tau dia akan pergi. Itu yang saya sedih," katanya.

Ditanya mengenai perasaannya saat bertandang ke kediaman arwah di Ipoh, Zara berkata dia diselubungi perasaan berdebar-debar dan sebak.

"Rasa sedih dan bila nak sampai rumah tu berdebar-debar. Kalau dulu setiap kali datang untuk photoshoot, arwah orang pertama menyambut kami di depan pintu dengan senyuman.

Saya sendiri pun terkejut kerana bila baby Eva dah umur lima bulan, dia dah ada baju untuk lima bulan. Arwah memang dah ready dan seolah-olah dah tau dia akan pergi. Itu yang saya sedih

ZARA HALEENA.

Pemilik dan Prinsipal Camora Arts.

"Tapi kali itu kami datang rasa kosong. Bila sampai tu kami disambut oleh anak arwah, siap pegang ajak masuk rumah, masing-masing pakai baju princess warna pink.

"Tiap kali photoshoot saya memang tak sabar tengok baby tapi kali ini saya seperti mengelak. Bukan sebab tak suka tapi takut mengalirkan air mata. Tiba masa nak siapkan baby Eva air mata tiba-tiba berderai sebab teringat arwah," katanya.

Beberapa gambar arwah Ad'lean bersama keluarganya yang dihasilkan menggunakan teknik suntingan dikongsi Zara di Facebooknya berjaya menyentuh hati netizen.

Gambar photoshoot ini membuat netizen sebak dan bersimpati dengan keluarga Ad'lean terutama anaknya yang masih kecil.  Foto ihsan Camora Arts

Rata-rata meluahkan rasa sebak dan bersimpati dengan nasib keluarga tersebut terutamanya empat anaknya yang masih kecil.

Malah Zara berkata dia tidak menduga postingnya akan menjadi tular memandangkan dia sekadar ingin berkongsi kepada orang ramai mengenai nilai kekeluargaan.

"Saya memang tak sangka viral. Saya cuba mahu memberi inspirasi kepada orang ramai supaya kita lebih menghargai orang yang kita sayang terutamanya ahli keluarga kita.

"Saya juga gembira kerana photoshoot yang diadakan di Ipoh berjalan dengan lancar. Kami guna gambar maternity kebetulan gambar itu yang paling hampir dengan photoshoot tersebut.

"Kami just crop gambar arwah buat kabur-kabur, nampak seolah-olah dia sentiasa ada tengok anak dia walaupun hakikatnya dia dah tak ada," katanya.

Artikel Lain