suria

"Hanya pulang pegang tangan arwah" - Anak ziarah jenazah ibu sebaik sedar dari koma, tenang 'tonton' pengebumian dari hospital

Fidaus berpeluang menatap jenazah ibunya buat kali terakhir pada 30 Januari lalu.

DALAM keadaan dirinya yang baru sahaja sedarkan diri dari koma selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Temerloh, Pahang, anak bongsu daripada empat beradik ini dikejutkan pula dengan berita pemergian ibu tersayang.

Namun remaja berusia 13 tahun ini dilihat sangat kuat dan tabah untuk berdepan musibah yang menimpa dirinya.

Remaja berkenaan, Fakhrul Firdaus Fakhrulruzi sanggup menempuh perjalanan sejauh 130 kilometer dalam keadaan dirinya masih lemah kerana mahu menatap jenazah ibunya, Irawaty Samsul Bahari buat kali terakhir di kediaman mereka di Ampang, Kuala Lumpur.

Momen menyentuh hati yang memaparkan katil remaja itu disorong masuk ke ruang tamu rumah oleh kakitangan hospital sebelum ia diturunkan dan dirapatkan dengan jenazah ibunya nyata membuatkan sesiapa sahaja yang melihatnya mengalirkan air mata.

Bagaimanapun, ketika orang di sekelilingnya menangis teresak-esak, Fakhrul Firdaus dilihat tenang dan reda dengan ketentuan Ilahi.

Video momen sebak itu dikongsi Farah Fakhira, kakak kepada Fakhrul Firdaus di Instagram miliknya pada Khamis sehingga tular dan mendapat perhatian netizen.

Farah Fakhira, 22, ketika dihubungi mStar Online memberitahu adik bongsunya itu baru sahaja selamat menjalani pembedahan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya sehari sebelum ibu mereka meninggal dunia akibat kanser usus pada 30 Januari lalu.

Firdaus amat rapat dengan ibunya. - Foto ihsan Fara Fakhira.

"Sebenarnya Baby Daus (nama panggilan adik bongsunya) baru sahaja sedar dari koma (30 Januari) selepas dimasukkan ke ICU sebaik selesai menjalani pembedahan memasukkan besi di kakinya selama 10 jam pada 29 Januari lalu.

"Pagi tu (30 Januari) mak pun masih OK lagi. Saya beritahu pembedahan adik dah selesai dan mak pun lega. Namun sudah ketentuan Allah, mak akhirnya meninggalkan kami ketika Maghrib pada hari yang sama.

"Suami saya beritahu adik dan saya tak sangka adik minta kebenaran doktor untuk pulang ke rumah. Kalau ikutkan memang tak boleh tapi doktor pun mungkin tak sampai hati. Jadi mereka benarkan dia pulang sekejap," katanya.

Jelas Farah, adiknya tiba di rumah mereka lewat malam dan sempat menatap jenazah ibu mereka sebelum dikebumikan keesokan harinya (31 Januari).

"Adik hanya jumpa mak sejam dua sebab ambulans tunggu di luar rumah. Dia nak cium jenazah mak tapi tak boleh sebab dia sendiri pun masih terbaring atas katil hospital.

"Dia buka kain lepas tu pegang tangan arwah mak sepanjang tempoh tu. Dia tenang... air matanya mengalir tetapi dia tak meraung. Saya sendiri terkejut sebab dia amat rapat dengan mak. Pergi sekolah tak nak naik van, mak yang hantar hari-hari.

"Bila saya tanya kenapa dia tenang... dia kata sebab dia tahu mama dah tak sakit dan mama dah pergi syurga. Bila dia cakap macam tu jadi kita fahamlah," kata Farah sambil menambah adiknya itu merupakan pelajar tahfiz.

Bercerita mengenai kemalangan yang menimpa Firdaus, Farah berkata kejadian itu berlaku sekelip mata semasa mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu.

"Saya bersama suami, adik saya Firdaus, abang dan kakak ipar bersama anak mereka dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk membawa ibu mertua yang tinggal di Kuantan berubat kanser tulang.

Gambar keluarga besar Farah sebelum ibunya sakit.

"Malangnya kenderaan yang kami naiki terlibat kemalangan dengan sebuah treler yang mengubah haluan secara tiba-tiba. Kenderaan kami terperosok di bawah treler.

"Kalau nak ikutkan belah kiri teruk jadi orang yang duduk di belah kiri semua masuk ICU. Adik, abang ipar dan anaknya (bayi) masuk ICU. Macam Firdaus dia cedera parah kerana dia duduk depan dengan saya.

"Jadi dia terkena hentakan dulu dan saya sekadar patah kaki. Firdaus masuk ICU sebab kaki dan tangannya patah. Limpanya pula pecah dan perlu dibuang. Keadaan dia amat teruk waktu tu," katanya.

Namun Farah berkata dia meminta izin untuk keluar hospital lebih awal kerana tidak senang duduk memikirkan keadaan kesihatan ibunya yang semakin merosot.

"Sebelum balik Kuantan jemput ibu mertua doktor dah beritahu keadaan mak. Tapi mak boleh tahan lagi, tu yang saya cepat-cepat pergi Kuantan dan nak balik cepat ke Kuala Lumpur untuk selesaikan hal mak pula.

"Tapi tak sangka kami terlibat dengan kemalangan. Saya tak senang duduk sepanjang di hospital. Bila fikir-fikir siapa nak tolong angkat saya dengan keadaan kaki patah. Jadi saya call kawan baik saya minta tolong dia hantar saya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Bila sampai hospital doktor cakap mak saya dah tak ada harapan. Bila doktor pesan dekat ayah minta bawa (ibu) balik rumah, kita faham selalunya orang tu hanya akan bertahan sehari dua.

"Tapi tak sangka mak saya bertahan sampai hari keenam. Mungkin dia kuatkan semangat sebab nak jumpa anaknya yang masih berada di ICU waktu tu. Dan dia pun pergi lepas dapat tahu adik sudah sedarkan diri dan pembedahannya selamat," katanya.

Fidaus melihat pengebumian ibunya menerusi  panggilan video . - Foto ihsan Farah Fakhira.

Selepas selesai menatap jenazah ibunya, Farah berkata adiknya dipindahkan ke Hospital Selayang dan hanya menyaksikan pengebumian ibunya menerusi panggilan video.

"Adik hanya tengok mak dikebumikan menerusi video call. Dia tak boleh ikut serta kerana keadaannya yang tidak mengizinkan.

"Masa pindah ke Hospital Selayang doktor tambah darah pada adik tapi tak sangka sehari kemudian doktor dah benarkan dia pulang.

"Saya mula-mula fikir mungkin dia akan ditahan empat, lima hari lagi tapi tak sangka proses dia sembuh begitu cepat. Mungkin itulah berkat doa rakan-rakan tahfiz dan juga ustaz tempat dia belajar," katanya.

Farah berkata adiknya kini semakin pulih daripada kecederaan yang dialaminya.

"Alhamdulillah dia dah OK tengah recover. Tangan dia boleh bergerak cuma kaki kena (gerak) perlahan.

"Bila keadaan dia dah OK sedikit selepas tiga hari berehat di rumah, hari keempat barulah kami bawa dia pergi kubur mak," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
ICU, tahfiz, meninggal, ibu

Artikel Lain