suria

Bagi kucing makan hari ini, esok dapat 2 tawaran kerja… Jejaka ini sungguh terkejut!

Fikri percaya, dia mendapat ganjaran selepas berbakti sesama makhluk Allah.

SEBAGAIMANA kita dituntut mengasihi sesama manusia dan haiwan kesayangan, begitulah yang dilakukan seorang pemuda sehingga dia dikejutkan dengan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Tampil berkongsi di laman Twitter, kisah Mohd Fikri Iman Ridwan, ternyata menarik perhatian ramai sehingga menerima hampir 10,000 ulang kicau (Retweet).

Bermodalkan kurang RM10 untuk membeli tiga paket makanan kucing, pemuda berusia 22 tahun yang hampir dua bulan menganggur bersyukur apabila menerima dua tawaran kerja pada keesokan harinya.

Paparan skrin Tweet Fikri. Bagaimanapun, imej yang digunakan dalam Tweet ini  hanyalah gambar hiasan, hasil carian Google oleh Fikri sendiri.  

"Saya tengok empat lima ekor kucing berkeliaran di kawasan rumah, terdetik di hati untuk saya pergi beli makanan untuk haiwan itu.

"Pagi esoknya terus saya dapat dua tawaran kerja. Apabila dapat berita itu, terus saya terfikir pasal kucing yang saya bagi makan.

"Waktu kerja juga fleksibel, selain kerja pertama sebagai Pembantu Perangkaan, saya juga jadi jurulatih kecergasan pada hujung minggu," ujarnya sewaktu dihubungi mStar Online, Khamis.

Syukur Alhamdulillah, dengan beberapa ringgit makanan kucing, mungkin punca dari situ, saya dapat pembalasan berganda-ganda.

Mohd Fikri Iman Ridwan

Menurut Fikri lagi, dia turut dikejutkan dengan pengesahan untuk mengerjakan umrah, tidak lama selepas itu.

Bakal berangkat ke Tanah Suci Makkah pada Selasa ini bersama abangnya, dia menyifatkan rezeki itu sebagai bukti 'kuasa bersedekah.'

"Semua benda baik bertimpa-timpa. Sebelum kejadian kucing tu saya belum confirm lagi nak ke sana (Makkah). Saya juga dapat lagi tawaran temu duga kerja dari syarikat lain.

"Syukur Alhamdulillah, dengan beberapa ringgit makanan kucing, mungkin punca dari situ, saya dapat pembalasan berganda-ganda," katanya yang menetap di Shah Alam, Selangor.

Fikri turut bertugas sebagai jurulatih kecergasan, pada hujung minggu. 

Dalam pada itu, beberapa pelayar Twitter turut berkongsi kisah mereka yang hampir sama dengan jejaka itu.
 
"My cousin 14 tahun tak pregnant. Lepas selamatkan ibu kucing dari longkang tak lama lepas tu tahu-tahu dah pregnant," tulis @mss_umi.
 
"Masa kat asrama terdetik kat hati saya nak beli makanan kucing dan bagi dekat kucing sekitar asrama ni. After a few months bagi kucing-kucing ni semua makan, bila result keluar rasa macam tak percaya gila yang saya dapat dekan. Alhamdulillah," tulis @IqlimaDarwisy.
 
"Sama bro, masa intern kat hospital luar negeri aku tak jumpa rumah sewa yang murah. Lepas bagi makan kat kucing jalanan, lusa tu ada sorang staff hospital kasi sewa kat rumah dia dengan harga murah siap bagi pinjam motor untuk kegunaan sepanjang aku intern," tulis seorang lagi individu.
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain