Pereka kasing telefon bimbit bengang rekaan diciplak pembekal luar negara, “Sedih... copy and paste, jual harga murah” - Viral | mStar

Pereka kasing telefon bimbit bengang rekaan diciplak pembekal luar negara, “Sedih... copy and paste, jual harga murah”

Semua rekaan kasing telefon bimbit direka sendiri oleh Ain. Foto kredit: Casesbywf

JENUH bersengkang mata siang dan malam demi menghasilkan rekaan terbaik, namun akhirnya hasil titik peluh dicuri sewang-wenangnya.

Ia dianggap umpama lembu punya susu, sapi dapat nama.

Lebih menyedihkan lagi semua rekaan kasing telefon bimbit yang direka khas oleh Ain Nurina Md Yazid itu dijual dengan harga yang tidak sepatutnya.

ARTIKEL BERKAITANKuasa tular! Pengantin 'reject' busana kahwin, tapi tukang jahit lega sebab...

Berkongsi dengan mStar mengenai tindakan pengilang dari China mencuri rekaan kasing telefon oleh syarikatnya CasesbyWF, ternyata Ain begitu terkilan.

Usahawan muda berusia 23  tahun yang juga pereka bagi semua jenis kasing telefon bimbit itu memberitahu, dia terkejut kerana syarikatnya baru menghasilkan rekaan bermula  2015.

Ain Nurina mengambil langkah lebih berhati-hati untuk mengelak rekaannya diciplak.

"Saya memang terkejut apabila mendapat tahu pengilang dari China menjual kasing yang  100 peratus sama dengan produk kami.

"Mereka mungkin 'copy and paste' rekaan itu di laman web kami, dan membuang logo jenama kami.

"Sebagai orang yang mereka semua jenis corak di kasing itu, saya tahu ia memang hak milik syarikat kami.

"Sebaik melakukan siasatan terhadap lebih 200 penjual di atas talian, mereka memberitahu mengambilnya dari pembekal dari China.

"Lebih menyedihkan, harga yang dijual terlalu murah antara RM5 hingga RM10 berbanding harga original RM39 dan RM49 untuk keluaran terhad," jelas pengarah syarikat itu yang telah mendapat khidmat nasihat undang-undang.

Ain Nurina memuatnaik status rekaan kasing telefon bimbit yang diciplak di Instastorynya.

Jelas Ain, dia cuba mendapatkan keadilan untuk hak milik ciptaannya, namun terpaksa dilupakan.

"Undang-undang hak milik yang ada sekarang lebih mudah jika berlaku di negara kita sendiri.

"Apabila melibatkan negara luar, ia memakan masa yang panjang dan kos juga mahal.

"Peguam menasihatkan saya supaya memperincikan lagi produk yang saya hasilkan seperti kod sekuriti atau sesuatu yang sukar ditiru.

"Saya bersama team akan lebih berhati-hati lagi walaupun kami sendiri sudah sedia maklum perkara sebegini pasti akan berlaku.

"Cuma terkejut, syarikat besar di China tahu mengenai jenama saya walaupun kami bukanlah pengeluar gergasi seperi jenama lain," katanya.

Dalam masa sama, Ain memberitahu bagi mengurangkan kegiatan ciplak ini, pembeli memainkan peranan penting.

"Pelanggan yang biasa menggunakan kasing keluaran syarikat saya akan tahu kualiti sebenar berbanding tiruan.

"Mereka inilah yang boleh menghalang daripada isu ini berleluasa.

"Memupuk kesedaran kepada pengguna bukan mudah, tetapi kami akan terus berusaha.

"Dan bagi saya, isu ini tidak mematahkan semangat untuk terus menghasilkan rekaan yang berbeza," jelasnya yang beroperasi di Subang Jaya.

Kasing , telefon bimbit , casesbywf

Artikel Lain

Luiz dedah punca pindah ke Arsenal