SELANGOR dan Melaka menjadi negeri terbaharu mengarahkan semua sekolah serta institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ditutup susulan fenomena jerebu yang semakin teruk.Perkembangan itu menjadikan keseluruhan empat buah negeri setakat ini mengambil langkah menutup sekolah secara berperingkat. Johor menjadi negeri pertama mengarahkan sekolah ditutup pada Khamis dan Jumaat, diikuti Negeri Sembilan, Selangor serta Melaka yang menetapkan penutupan berkuat kuasa pada Jumaat sehingga makluman lanjut.Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim berkata, semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah JPN perlu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan sesi persekolahan.Menurutnya, ibu bapa dan penjaga diminta sentiasa mengikuti makluman rasmi daripada pihak JPN dari semasa ke semasa, terutamanya berkaitan tarikh pembukaan semula sekolah.“Jangan membuat sebarang andaian berkaitan pembukaan sekolah dan hanya merujuk kepada makluman rasmi JPN Selangor atau KPM,” katanya.Beliau turut mengarahkan semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memastikan maklumat penutupan itu disampaikan secara menyeluruh kepada pihak sekolah, guru, ibu bapa dan murid.“Pihak sekolah juga perlu terus memantau keadaan semasa serta mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan sepanjang tempoh penutupan,” katanya.