PERJALANAN sejauh ratusan kilometer selama hampir 12 jam tidak menghalang seorang pengundi muda untuk pulang dari Perlis ke Johor bagi menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu.Aina Nazirah Rahmat, 21, yang merupakan pelajar Diploma Teknologi Maklumat di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau berkata, dia tetap nekad pulang walaupun rancangan perjalanan asal berubah selepas tiket bas ekspres dari Arau ke Batu Pahat habis dijual. Sebagai alternatif, dia mendapatkan tiket ke Melaka sebelum dijemput abangnya untuk meneruskan perjalanan pulang ke Batu Pahat.Setibanya di kampung halamannya di Parit Sulong kira-kira pukul 8 pagi, Aina Nazirah terus menuju ke pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tongkang Pechah bagi membuang undi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani.Menurutnya, perjalanan jauh serta hujan lebat di pusat mengundi tidak mematahkan semangatnya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat.Katanya, pengalaman mengundi buat kali pertama itu amat bermakna dan akan menjadi kenangan yang tidak dilupakan."Saya teruja untuk mengundi calon yang saya percaya mampu berkhidmat kepada rakyat. Saya lega kerana berjaya pulang untuk mengundi," katanya.Seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi dalam PRN Johor kali ini. -The Star