Amirudin (tengah) berjanji PH akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif di DUN Johor.
PAKATAN Harapan (PH) secara terbuka akur dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026, namun berikrar akan terus memainkan peranan sebagai blok pembangkang yang konstruktif di Dewan Undangan Negeri (DUN).Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, gabungan itu berjaya mempertahankan kemenangan di lapan kerusi. "Yang pasti kita memenangi lapan kerusi biarpun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh berkempen dan hari pengundian."Suara rakyat Johor akan mendorong PH menjalankan tanggungjawab di dalam Dewan Undangan Negeri nanti dengan penuh integriti, sekali gus menawarkan penyelesaian terbaik kepada isu-isu asas yang masih belum selesai," katanya pada sidang media pada Sabtu malam.ARTIKEL BERKAITAN: [TIDAK RASMI] BN menang besar PRN JohorMenurut beliau, PH juga komited menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang dengan memantau setiap dasar kerajaan negeri secara rapat dan konsisten bagi memastikan manfaat pembangunan serta peningkatan kualiti hidup dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat di seluruh Johor.Mengulas lanjut, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, faktor populariti Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, khususnya dalam kalangan pengundi muda, antara aspek yang perlu diberikan perhatian."Faktor Menteri Besar (Onn Hafiz), populariti beliau dengan generasi muda adalah salah satu faktor yang perlu kita ambil kira," katanya.Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa dinamik pilihan raya negeri berbeza dengan Pilihan Raya Umum (PRU), yang lazimnya lebih dipengaruhi isu kepimpinan di peringkat Persekutuan."Apabila PRU, isu utama ialah siapa yang akan jadi Perdana Menteri. Pada waktu itu kita yakin PH ada calon Perdana Menteri. Jadi apa yang berlaku di peringkat negeri dan pilihan raya umum adalah dua perkara berbeza," katanya.Beliau berkata, PH berpandangan gabungan itu sudah mengemukakan tawaran yang menyeluruh kepada pengundi, termasuk barisan calon, manifesto dan pelbagai inisiatif yang ditawarkan sepanjang kempen.Namun katanya, keputusan pilihan raya menunjukkan PH perlu menilai semula strategi dan pendekatan yang digunakan bagi memahami corak sokongan pengundi."PH sebenarnya sudah membentangkan tawaran yang cukup lengkap, daripada barisan calon sehinggalah ke manifesto."Bagaimanapun, kami perlu melihat kembali strategi, pendekatan, serta pola undi yang diterima. Kami akan masuk ke war room dahulu untuk meneliti isu sebenar sebelum membuat sebarang rumusan," katanya.Pada PRN Johor 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH memperoleh 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) satu kerusi.