suria

Najib dapat pengurangan hukuman 50 peratus, bebas 23 Ogos 2028 jika bayar denda RM50 juta

Najib mendapat pengurangan hukuman penjara dan denda.

TEKA teki mengenai keputusan berhubung permohonan pengampunan oleh Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, akhirnya terjawab.

Bekas Perdana Menteri itu diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara sedang dijalaninya dan denda yang perlu dibayar.

Ia sekali gus menyaksikan Najib bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

ARTIKEL BERKAITAN: Apa status pengampunan Najib? Lembaga Pengampunan akan buat kenyataan rasmi

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai ternanti-nanti... Keputusan pengampunan Najib bakal diketahui minggu ini

Perkara itu disahkah oleh Lembaga Pengampunan dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Menurut Lembaga Pengampunan, tarikh pembebasan awal itu dengan denda yang perlu dibayar dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

"Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan memutuskan hukuman ke atas Datuk Seri Najib Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

"Namun, sekiranya tidak dibayar denda, tempoh penjara bagi Datuk Seri Najib Razak akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029," menurut kenyataan itu.

Najib kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain