suria

LTAPP turut dilanda banjir

Kawasan LTAPP yang dimasuki air akibat hujan lebat.

HUJAN yang berterusan bukan sahaja menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Pulau Pinang, tetapi juga di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Balai ketibaan dinaiki air kira-kira pukul 9 pagi Sabtu selepas air mula mengalir masuk dari lorong teksi di bahagian luar.

Pintu masuk utama di tingkat bawah LTAPP turut dibanjiri air setinggi buku lali.

Tiga penerbangan yang tiba antara pukul 8 pagi dan 8.50 pagi, dari Subang, Langkawi dan Kuala Namu di Sumatera Utara terpaksa dilencongkan.

Satu video yang merakamkan kejadian tular dengan netizen meluahkan kekecewaan mereka terhadap situasi terkini di lapangan terbang itu.

Dalam video itu, kakitangan lapangan terbang kelihatan membersihkan keadaan yang kucar-kacir akibat banjir kilat.

ARTIKEL BERKAITAN: LTAPP banjir lagi akibat 'hujan luar biasa'

Sementara itu, Pengurus Hubungan Kerajaan AirAsia (Wilayah Utara), Kenneth Tan bagaimanapun berkata, tiada penerbangan tertunda akibat insiden itu.

Tan berkata, beliau berharap perkara tersebut dapat ditangani oleh pihak berkuasa berkaitan kerana kejadian itu bukan pertama kali berlaku di lapangan terbang.

Beliau berkata, adalah penting untuk memperbaiki situasi yang berlaku kerana LTAPP merupakan pintu utama ke Pulau Pinang dan ia mencerminkan imej negeri dalam industri pelancongan.

Hujan lebat selama dua jam menjejaskan beberapa bahagian di Pulau Pulau Pinang, pada awal pagi Sabtu.

Antara kawasan yang terjejas ialah kawasan Sungai Ara, Bayan Lepas dan Teluk Kumbar yang sering mengalami banjir ketika hujan lebat.

Hujan lebat menyebabkan banjir di beberapa kampung di Bayan Lepas serta Kampung Masjid, Kampung Manggis, Kampung Perlis, Kampung Binjai dan Kampung Seronok. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain