suria

IWK komited perkenal inisiatif jamin kelangsungan perkhidmatan urus sistem pembentungan

IWK membangun dan mengekalkan sistem pembetungan yang moden dan cekap untuk rakyat Malaysia.

BAYANGKAN kehidupan kita tanpa air! Sudah semestinya sukar. Kita tahu bahawa kita tidak akan dapat bertahan tanpa air. Kita memahami akan kepentingan dan nilainya di dalam kehidupan seharian manusia.

Cuba bayangkan pula, jika kita mengepam tandas dan sisa kumbahan kita terus ke sungai tanpa sebarang rawatan. Pastinya, sumber air kita akan tercemar – dan menjadi punca kepada semua kehidupan tercemar yang membawa kepada penyakit bawaan air.

Bagaimana hal sedemikian akan memberi kesan kepada bekalan air, sanitasi awam dan alam sekitar kita?

Kepentingan perkhidmatan pembetungan

Oleh sebab itu, mempunyai sistem pembetungan yang cekap adalah amat penting untuk pemeliharaan alam sekitar dan kesihatan awam. Sebagai syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd diamanahkan untuk membangun dan mengekalkan sistem pembetungan yang moden dan cekap untuk semua rakyat Malaysia.

IWK 4

Sistem pembetungan yang cekap amat penting untuk pemeliharaan alam sekitar dan kesihatan awam.

Kerja-kerja pengendalian dan penyelenggaraan sistem pembetungan IWK adalah sangat teknikal, berbahaya, kotor dan sukar. Dengan pengalaman selama 28 tahun, IWK telah membuktikan keupayaannya dalam menguruskan sistem pembetungan di negara ini dengan cekap.

Walau bagaimanapun, pengurusan sistem pembetungan negara bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya untuk IWK mengekalkan operasi dan kemampanan kewangannya, di samping memastikan pemuliharaan alam sekitar dan sanitasi awam negara.

Perniagaan teras IWK: Mengurus sistem pembetungan, merawat air sisa

IWK menyediakan perkhidmatan pembetungan kepada penduduk setara yang melebihi 29 juta orang. IWK mengendali dan menyelenggara 7,352 buah loji rawatan kumbahan awam (LRK) dan 22,000 kilometer (km) paip pembetungan bawah tanah. Ini adalah peningkatan ketara iaitu daripada 1,117 LRK awam dan 2,317km paip pembetungan bawah tanah sejak penubuhan IWK pada 1994.

Saban tahun, peningkatan dalam aset pembetungan awam yang diserahkan kepada IWK telah memberi tekanan kewangan kepada operasi IWK.

"Dalam IWK sedang berusaha untuk menambah baik kecekapan dan keberkesanan operasi untuk melindungi alam sekitar dan kesihatan awam, IWK juga berhadapan dengan cabaran jurang antara kadar caj IWK, peningkatan kos operasi dan penggunaan serta peningkatan kos tenaga elektrik," kata Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam.

IWK 10 YAP CHEE HONG

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam.

Peningkatan aset di bawah jagaan IWK telah menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan operasi dengan ketara, namun IWK mengekalkan cajnya kepada pelanggan domestik sistem bersambung pada harga RM2 - RM8 sebulan. Caj ini sebenarnya adalah di antara caj yang paling rendah di dunia.

“IWK terpaksa mengimbangi peningkatan kos operasi, termasuk penyelenggaraan aset yang semakin tua dengan kos operasi lain, tetapi semuanya telah kami cuba lakukan untuk mengurangkan kos operasi," ujar Narendran.

Sehubungan itu, IWK terpaksa mencari alternatif lain selain mengurangkan kos bagi memastikan kemampanan kewangannya.

IWK ceburi perniagaan bukan teras untuk kurangkan impak kepada kewangan

Dalam bidang kewangan dan kelangsungan operasi, prestasi cemerlang IWK dalam pengurusan sistem pembetungan dan aset negara sejak 28 tahun lalu telah membolehkan syarikat ini melanjutkan perjanjian konsesi (CA). Seiring dengan pelanjutan itu, kerajaan Persekutuan telah memberikan perjanjian tambahan kepada IWK untuk meneroka aktiviti perniagaan berasaskan bukan tarif bagi mengurangkan kesan kepada kewangan.

IWK 1

IWK mengekalkan operasi dan kemampanan kewangannya, di samping memastikan pemuliharaan alam sekitar dan sanitasi awam negara.

Oleh hal yang demikian, IWK telah memulakan inisiatif waste-to-wealth melangkaui perkhidmatan pembetungan konvensional kerana IWK berhasrat untuk ke arah ekonomi kitaran melalui penggunaan semula produk sampingannya, iaitu bioefluen, biopepejal dan biogas.

"IWK mengambil langkah pengoptimuman kos seperti penggunaan teknologi hijau dalam pelbagai operasi. Di LRK IWK, kami menggunakan semula bioefluen untuk menambah penggunaan air untuk kegunaan bukan minuman, manakala enam daripada LRK IWK, telah dapat menggunakan semula biogas untuk menjana tenaga," tambah Narendran.

IWK juga memulakan inisiatif di dalam bidang air pulih guna, melalui usaha sama dengan syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), untuk membolehkan air sisa yang dirawat daripada LRK IWK menjalani rawatan lanjut bagi menghasilkan air pulih guna yang boleh digunakan dengan selamat untuk tujuan bukan minuman dan industri.

IWK 5

Dengan pengalaman selama 28 tahun, IWK telah membuktikan keupayaannya dalam menguruskan sistem pembetungan di negara ini dengan cekap.

Narendran berkata, melalui kerjasama dengan pihak ketiga, IWK juga telah memulakan inisiatif yang menggunakan semula biopepejal yang telah dirawat sebagai makanan kepada Black Soldier Fly Larvae untuk menghasilkan palet Lemak dan Protein bagi tujuan eksport. Ini dapat membantu pengurangan kos yang ditanggung untuk pelupusan biopepejal ke tapak pelupusan.

IWK juga melebarkan sayapnya dengan menghasilkan 10 tan palet baja sehari untuk tanaman bukan tumbuhan.

Narendran juga menekankan bahawa kemampanan kewangan akan terus menjadi cabaran bagi organisasi kerana IWK akan terus komited untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan.

"Tidak dilupakan, IWK sentiasa mematuhi piawaian pematuhan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar demi perlindungan alam sekitar," kata beliau.

Mengendali dan menyelenggara sistem pembetungan awam negara bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya tanpa hasil yang mencukupi. Tarif semasa perlu diseimbangkan semula untuk memacu IWK ke hadapan, bersama dengan pelanggan, dalam melindungi kesihatan awam dan alam sekitar.

Untuk maklumat lanjut, layari www.iwk.com.my

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

LTAPP turut dilanda banjir

Artikel Lain