PERASAAN sedih dalam hati, tiada siapa mampu mengerti. Begitulah apa yang dirasakan seorang ibu tunggal yang cekal membesarkan empat cahaya mata berusia antara tiga hingga 14 tahun selepas kematian suaminya pada Januari lalu. Lebih pilu, Nor Faizah Mohamad Hamizam, 31, terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan demi menyara keluarga dan menampung kos perubatan si bongsu, Nur Airis Maisarah Mohd. Zulkarnaen, 3, yang mengalami masalah buah pinggang bocor. Si comel ini mula mengalami masalah kesihatan sejak berumur setahun lebih. "Saya kerja tak menentu. Saya buat macam-macam, mengikut tawaran yang ada. Kadang-kadang orang minta tolong berniaga, ada kalanya orang minta saya buat kerja penghantaran barang. "Pada masa sama, saya juga ambil tempahan kuih-muih tradisional. Tapi sekarang kos bahan mentah semua dah meningkat, saya pun serba-salah untuk naikkan harga. "Bila buat macam-macam kerja, memang saya terkejar dengan masa. Nak uruskan anak yang sekolah lagi, kemudian nak uruskan anak bongsu yang sakit. Masa saya kena atur sendiri," ujarnya kepada mStar. Mesra disapa Faizah, dia yang menetap di Temerloh, Pahang mengakui perjalanan kehidupan mereka sekeluarga berubah sekelip mata selepas suaminya meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah. ARTIKEL BERKAITAN: Risau tak boleh survive, doktor kata jangan terlalu berharap... bayangkan dugaan ibu berpantang ini tanpa bayi di sisi, yang pasti tidak mengalah! ARTIKEL BERKAITAN: Kulit anak bertompok, bersisik sejak usia sebulan... ibu hilang kata-kata dapat tahu peluang sembuh cuma 70 peratus Paling sedih katanya, dia juga terpaksa mengurangkan kekerapan rawatan untuk anak bongsunya kerana perbelanjaan dari Pahang ke ibu negara memakan belanja yang besar. "Anak saya mula sakit masa dia umur setahun enam bulan. Dia menerima rawatan di Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur. "Dulu kami akan bawa dia untuk dimasukkan ubat sebanyak tiga kali seminggu. Tapi selepas kematian suami, saya minta doktor kurangkan kekerapan rawatan. "Saya tak mampu nak pergi tiga kali seminggu. Saya minta budi bicara mereka agar rawatan dibuat sekali sebulan saja. Keadaan rumah mereka di Temerloh. "Lepas suami tiada, saya memandu sendiri ke hospital. Kos sehala dah makan belanja lebih RM100 untuk minyak dan tol. Kami memang tak makan kalau ke sana, kami bawa bekal saja. "Setiap kali pergi sana, anak-anak yang lain saya tinggalkan di rumah saya atau tumpangkan di rumah nenek mereka. Mujurlah nenek duduk dekat," ujarnya lagi. Menurut Faizah, doktor juga tidak dapat memberi jaminan mengenai masa depan anaknya, malah peluang untuk sembuh sepenuhnya juga masih lagi samar. "Bila dia alami buah pinggang bocor, kalau silap bagi makan, habis bengkak satu badan. Dia juga akan alami sakit perut dan cirit-birit," ujarnya lagi. Selain anaknya, Faizah juga menghidap sakit tiroid, sekali gus memberi kesan untuknya menjalani kehidupan harian secara normal. "Saya mula sakit selepas melahirkan anak bongsu. Kesannya, kadang-kadang saya akan rasa letih. Tiba-tiba dada jadi laju, macam kita rasa gemuruh. Sakit tak menentu. Faizah terpaksa mengurangkan kekerapan rawatan anaknya kerana tidak mampu menanggung kos perjalanan ke HTA. (Gambar Hiasan) "Tapi saya buat tak tahu saja. Saya fikir nak bekerja. Kalau saya mengalah, macam mana dengan anak-anak?" ujarnya sebak. Mengulas Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada 10 Julai ini, Faizah berkata dia tidak membuat sebarang persiapan, malah situasinya sama sahaja seperti Aidilfitri yang diraikan baru-baru ini. "Masa raya hari tu kami tak ada beli baju baru pun. Sekadar sambut ala kadar, apa yang ada saja. Begitu juga dengan Aidiladha, saya tak ada apa-apa persiapan, tak beli apa-apa pun. "Hanya anak-anak yang jadi kekuatan. Air mata tu macam dah kering, memang selalu menangis, boleh dikatakan setiap hari. Apa yang saya kerja hari ni, untuk makan hari ni saja. Untuk esok tak tahu lagi macam mana," ujarnya. Faizah sebelum ini pernah menerima sumbangan daripada kerajaan negeri, namun ia habis dibelanjakan untuk rawatan dan pembedahan penyakit bahagian usus dan hati anak bongsunya pada tahun lalu. Untuk menghulurkan bantuan, anda boleh menyalurkan sumbangan di Marhaen.my *Marhaen.my merupakan platform bagi memudahkan rakyat Malaysia membantu dan berkongsi rezeki melalui kemudahan pembayaran secara dalam talian menerusi kempen "Senyum Bersama Marhaen". Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI