suria

Takut kena saman sebab tak pakai topi keledar, lelaki Bangladesh berani suap polis RM200

Sirajul Nojrulislam didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku salah beri suapan kepada polis.

LELAKI warga Bangladesh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas tuduhan memberi rasuah RM200 kepada seorang anggota polis pada Februari lalu.

Pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Hindi.

Sehubungan itu Hakim M Bakri Abd Majid memerintahkan tertuduh Sirajul Nojrulislam, 42, membayar denda sebanyak RM3,000.

Beliau turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman sebulan penjara jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, pekerja kilang itu didakwa memberi wang tunai RM200 kepada anggota polis berpangkat koperal sebagai balasan supaya tidak mengeluarkan saman kerana tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

Ia merupakan satu kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 dan kesalahan itu dilakukan di Jalan Batu 10, Segari di Manjung kira-kira jam 5.20 petang pada 17 Februari lalu.

Pertuduhan yang mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM200 berkenaan dilucuthakkan kepada kerajaan di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain