suria

Grab tawar bonus pendaftaran sehingga RM1,000 demi atasi kekurangan pemandu

Skim yang bermula pada 1 Jun akan diteruskan sehingga 31 Julai 2022. Foto: ZHAFARAN NASIB/The Star.

GRAB Malaysia menawarkan bonus pendaftaran sehingga RM1,000 untuk rakan kongsi pemandu (driver-partners) baharu bagi syarikat itu.

Skim yang bermula pada 1 Jun akan diteruskan sehingga 31 Julai 2022.

Pemandu baharu dikehendaki memenuhi bilangan perjalanan minimum untuk layak mendapat bonus sehingga RM1,000 sebagai tambahan kepada subsidi sedia ada yang akan membantu mengurangkan kos keperluan kawal selia e-hailing.

Grab berkata, ia berharap inisiatif itu akan menarik rakan kongsi pemandu baharu untuk memenuhi permintaan pasca wabak.

"Sehingga pertengahan Mei tahun ini, bilangan rakan kongsi pemandu di platform kami masih kurang daripada 70 peratus daripada pra-pandemik," ujar Rashid Shukor, pengarah operasi dan mobiliti negara Grab Malaysia.

Pemandu baharu dikehendaki membelanjakan sehingga RM500 untuk memenuhi keperluan kawal selia yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan bagi memperoleh lesen PSV, yang membolehkan mereka layak memandu sebarang jenis kenderaan yang digunakan untuk mengangkut penumpang berbayar.

Mereka juga perlu menghadiri latihan selama enam jam, lulus pemeriksaan kenderaan dan membeli insurans.

Bulan lalu, sebilangan pengguna membuat luahan di media sosial mengenai penyedia e-hailing mengenakan bayaran yang lebih tinggi walaupun untuk perjalanan pendek.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata lonjakan tambang e-hailing adalah disebabkan beberapa faktor termasuk kekurangan pemandu.

“Daripada perbincangan, jelas terdapat dua faktor utama yang menyebabkan kenaikan tambang e-hailing ini; ketidakseimbangan bekalan-dan-permintaan dan kesesakan trafik yang tinggi membawa kepada masa perjalanan yang lebih lama,” kata Dr Wee dalam laporan selepas pertemuan dengan pengendali e-hailing.

Grab Malaysia dalam satu kenyataan pada 24 Mei berkata "model harga dinamik" disediakan untuk memastikan rakan kongsi pemandu diberi pampasan yang adil untuk masa dan usaha mereka di samping memastikan penumpang akan dijemput.

"Apabila lebih ramai orang menempah perjalanan daripada bilangan pemandu yang ada di sesuatu kawasan, tambang akan 'meningkat' atau naik untuk menggalakkan lebih ramai pemandu menuju ke tempat penumpang berada," kata syarikat itu. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain