suria

Panjat tab mandi sebelum keluar tingkap, budak 3 tahun maut terjatuh dari tingkat 10

Seorang budak lelaki berusia tiga tahun maut akibat terjatuh daripada kediamanya di tingkat 10, Kondominium Dutamas 28, di sini pada Rabu. (Gambar kecil: Eng Lai)

SATU insiden tragis berlaku melibatkan seorang budak lelaki berusia tiga tahun yang maut akibat terjatuh daripada kediamannya di tingkat 10, Kondominium Dutamas 28, Sentul, pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, pihak polis menerima laporan berkenaan kejadian tersebut pada pukul 3.30 petang.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memanjat tab mandi dan naik ke atas tembok, kemudian memanjat keluar ikut tingkap tandas. Semasa kejadian ibunya berada di ruang tamu.

"Kanak-kanak itu terjatuh di tingkat tiga kondominium itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya.

Ditanya mengenai keberadaan bapa mangsa, Eng Lai berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan namun melihat keadaan ibu mangsa yang masih terkejut menyukarkan untuk disoal siasat.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan tetapi buat masa ini ibu mangsa masih sangat sedih dan kita beri dia masa dahulu, kita tak mahu emosi dia terganggu.

"Ibu mangsa akan dipanggil untuk dirakam keterangannya kemudian, sebab sekarang dia sangat sedih, menangis dan tidak dapat bercakap. Jadi kita tunggu mayat itu dibedah siasat," ujarnya. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain