suria

Pengunjung konsert menari langgar SOP, polis panggil penganjur

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata polis telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan akan menjalankan siasatan.

POLIS akan memanggil penganjur konsert di Ayer Hitam, Johor bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata polis telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan akan menjalankan siasatan susulan video tular menunjukkan orang menari beramai-ramai sehingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

"Saya ingin mengingatkan penganjur agar tidak membuat sebarang program yang boleh menimbulkan keresahan orang ramai. Jika ada, kita akan menjalankan siasatan terhadap mereka.

"Jadi dalam kes ini, jelas sekali mereka gagal mematuhi Akta 342 ketika majlis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor di Johor Bahru pada Ahad (6 Mac).

Tambah Kamarul Zaman, walaupun polis tidak menerima maklumat rasmi mengenai perkara itu, siasatan masih akan dijalankan dan pihaknya akan memanggil penganjur acara berkenaan.

Terdahulu, beberapa klip video ketika konsert itu berlangsung menjadi tular di media sosial, menunjukkan sekumpulan anak muda berpesta tanpa sebarang penjarakkan fizikal.

Konsert itu dipercayai dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa pada 4 Mac. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain