suria

Pelajar sekolah menengah ikuti PdPR 2 minggu mulai 21 Mac, bersemuka 4 April

Mohd Radzi memberi penerangan mengenai pembukaan sekolah sesi 2022/2023.

SESI persekolahan baharu bagi sekolah menengah untuk Penggal 1 2022/2023 akan dimulakan dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu bermula 21 Mac ini.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam Facebook beliau, pada Sabtu.

Beliau berkata, pelajar berkenaan kecuali sekolah berasrama penuh akan menghadiri pembelajaran secara bersemuka tanpa penggiliran di sekolah, mulai 4 April.

ARTIKEL BERKAITAN: SPM: Calon positif Covid-19, terjejas banjir duduki peperiksaan pada April

ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin berkesan, KJ jawab kenapa sekolah terus dibuka

"Dari 21 Mac 2022 hingga 4 April 2022, pelajar sekolah menengah akan melaksanakan PDPR. Bermula 4 April, semua pelajar sekolah menengah akan masuk ke sekolah tanpa penggiliran.

"Ini termasuk murid berkeperluan khas (MBK), Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)," katanya.

Mohd Radzi berkata, pelajar lain yang turut terlibat dengan PdPR termasuk peralihan, tingkatan satu hingga tingkatan enam, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) dan peperiksaan antarabangsa setara.

Tambah beliau, bagi pelajar tingkatan satu yang berjaya memasuki sekolah berasrama sepenuhnya, mereka boleh memilih sama ada menjalani PdPR atau menumpang di sekolah harian yang berdekatan kediaman sehingga tarikh kemasukan sekolah berasrama diumumkan.

"Bagi sekolah swasta berasrama sepenuhnya yang mempunyai kapasiti untuk menguruskan keseluruhan pelajar juga boleh beroperasi sepenuhnya termasuk murid baharu tingkatan satu.

"Bagi kolej vokasional, sesi persekolahan akan berlangsung tanpa penggiliran mengikut takwim pengajian akademik masing-masing termasuk untuk sijil vokasional Malaysia dan diploma vokasional Malaysia.

"Bagi kolej matrikulasi, semua pelajar akan hadir tanpa penggiliran mengikut takwim akademik masing-masing. Bagi sistem empat semester yang akan hadir adalah pelajar semester dua dan empat, manakala bagi sistem dua semester yang akan hadir ialah pelajar semester dua.

"Untuk Institut Pendidikan Guru (IPG), penggiliran mengikut takwim kalendar akademik,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain