suria

SPM: Calon positif Covid-19, terjejas banjir duduki peperiksaan pada April

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin meninjau pelajar-pelajar yang menduduki pada hari pertama SPM di SMK Kota Masai 2, Pasir Gudang, pada Rabu. Foto: Bernama

SEPERTI yang dijadualkan, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 menduduki ujian bertulis mulai 2 Mac hingga 29 Mac ini.

Bagaimanapun, calon yang disahkan positif Covid-19 atau sedang menjalani kuarantin dibenarkan menduduki peperiksaan itu dalam sidang kedua pada April ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

ARTIKEL BERKAITAN: SPM: 407,097 calon duduki ujian bertulis mulai 2 Mac

Mohd Radzi berkata, calon berkenaan hanya perlu memaklumkan kepada sekolah dan tidak perlu bimbang kerana mereka tetap diberi peluang menduduki SPM.

"Harus jelas. Sekiranya pelajar didapati positif, maka mereka perlu buat surat deklarasi kepada pengetua atau pihak sekolah menulis (surat) bahawa mereka positif.

"Pengetua akan sahkan sama ada benar murid itu positif atau tunjukkan bukti MySejahtera, selain ada tiga borang deklarasi MySejahtera serta surat kepada pengetua," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dan meninjau hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2 di sini, pada Rabu.

Katanya, bagi calon yang sedang menduduki peperiksaan SPM dan pihak sekolah yang baru mendapat maklumat terdapat calon positif, pelajar berkenaan akan diletakkan dalam bilik khas disediakan di sekolah berkenaan.

"Bagi calon SPM yang menjadi kontak rapat dan perlu dikuarantin juga tidak perlu hadir ke tempat peperiksaan. Bagaimanapun calon perlu mengemukakan pengesahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) seperti pelajar yang positif," katanya.

Dr Radzi memberitahu, seramai 407,097 pelajar menduduki SPM di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 50,317 adalah calon SPM di Johor.

Sementara itu calon-calon SPM di sekolah yang dilanda banjir seperti di Kelantan hingga mengakibatkan sekolah dan pusat peperiksaan ditutup serta tiada lokasi alternatif bersesuaian, juga akan menduduki peperiksaan tersebut pada sidang kedua April ini, kata beliau. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain