suria

Kes remaja meninggal dunia selepas suntikan vaksin Covid-19, KKM cadang ujian tambahan terhadap sampel tisu - Khairy

Khairy turut memohon agar masyarakat tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai kes tersebut. Foto: Bernama

KEPUTUSAN bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat remaja berusia 16 tahun, Revnesh Kumar, akan dibentang dan dibincangkan dalam kalangan pakar-pakar forensik dalam satu sesi 'peer-review' pada 7 Mac untuk pengesahan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau bersama Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan pakar forensik Hospital Serdang Dr Emizam Mohamadon, mengadakan pertemuan ibu dan bapa mendiang, Naresh Kumar Lachmenou dan Vijayarani Govindan pada Jumaat (4 Mac).

Revnesh meninggal dunia pada 16 Januari, iaitu lapan belas hari selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa perlu tahu 5 perkara ini sebelum bawa anak cucuk vaksin Covid-19

Khairy berkata, dalam pertemuan selama 30 minit itu, ibu bapa Revnesh diberi penerangan mengenai perkembangan terkini siasatan ke atas punca kematian mendiang dan juga perancangan serta komitmen KKM untuk mengenal pasti punca kematiannya.

"Hasil dapatan bedah siasat dan semua keputusan ujian yang telah dijalankan setakat ini, termasuk pemeriksaan Histologi akan dibentang dan dibincangkan dalam kalangan pakar-pakar forensik dalam satu sesi peer-review pada 7 Mac 2022 untuk pengesahan.

"Laporan bedah siasat dan semua keputusan ujian yang dijalankan seterusnya akan turut diserahkan kepada ibu bapa mendiang selepas selesai sesi peer-review tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Khairy menambah, KKM juga bercadang untuk membuat beberapa ujian tambahan terhadap sampel tisu dalaman di mana ia mungkin perlu dihantar ke luar negara untuk pengujian selanjutnya.

"Saya sendiri telah menyatakan komitmen untuk pastikan perkara ini disusuli dengan segera.

"Kesemua perkara ini telah dimaklumkan kepada kedua ibu bapa mendiang Revnesh Kumar dan mereka memahami penerangan yang diberikan serta bersetuju dengan langkah-langkah yang akan diambil bagi mengenal pasti punca kematian mendiang," katanya.

Khairy dalam pada itu berkata beliau dan seluruh warga KKM menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga Revnesh atas berita duka itu dan menyatakan perkembangan siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"Saya ingin memohon masyarakat untuk menghormati privasi dan perasaan keluarga mendiang. Pada masa yang sama, saya juga memohon agar masyarakat tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai kes kematian ini," katanya lagi. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain