suria

Daftar derma organ mungkin boleh dibuat menerusi MySejahtera tidak lama lagi - KJ

Khairy mencadangkan untuk memasukkan fungsi dalam aplikasi pada MySejahtera yang mana pengguna boleh berikrar untuk menderma organ mereka. Foto: BERNAMA.

FUNGSI dalam aplikasi dalam MySejahtera untuk membolehkan orang ramai mendaftarkan diri mereka sebagai penderma organ mungkin tersedia tidak lama lagi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Memandangkan kadar pendermaan organ di Malaysia antara yang terendah di dunia, kami cuba sedaya upaya untuk memudahkan orang ramai mendaftar sebagai penderma.

ARTIKEL BERKAITAN: Sijil vaksinasi dalam MySejahtera tak diterima, 15 pelancong Malaysia terkandas di Manila

“Oleh itu, kami mencadangkan untuk memasukkan fungsi dalam aplikasi pada MySejahtera yang mana pengguna boleh berikrar untuk menderma organ mereka,” katanya ketika melancarkan Persidangan Dialisis Tahunan Ke-16 2022 pada Sabtu.

Tambah Khairy, penyakit buah pinggang tahap akhir (ESKD) di Malaysia telah meningkat dengan ketara dalam tempoh 25 tahun yang lalu.

“Pendaftaran Dialisis dan Pemindahan Malaysia melaporkan 7,967 pesakit baharu menerima dialisis pada 2015 dengan jumlah itu meningkat kepada 39,711 pesakit pada akhir 2016.

“Jika dibiarkan, jumlah ini dianggarkan mencecah 106,000 pesakit pada 2040,” katanya.

Mengenai pembukaan semula sempadan negara, Khairy berkata ia akan diumumkan oleh Perdana Menteri minggu depan, tanpa sebarang perubahan.

“Kabinet telah bersetuju mengenai perkara ini dalam satu mesyuarat semalam dan kita kini sedang menunggu pengumuman daripada Perdana Menteri,” katanya.

Menurut Khairy lagi, pengumuman itu akan membolehkan mereka yang terlibat dalam industri pelancongan membuat persiapan yang diperlukan sebelum sempadan dibuka semula. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain