suria

Semua R&R dibenar beroperasi 24 jam antara 7 kelonggaran SOP... program rintis protokol libatkan pembesar negara, menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa kelonggaran SOP selepas mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada Jumaat.

OPERASI hentian Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya dalam negara dibenarkan beroperasi penuh 24 jam bermula esok (16 Oktober).

Ia adalah satu daripada tujuh kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diputuskan dalam Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak lama lagi 181 SOP yang diguna pakai selama ini akan diperkemas, dikurangkan kepada 10 sahaja

Berikut adalah antara kelonggaran lain yang diputuskan jawatankuasa berkenaan:

1) Kenderaan e-hailing dibenarkan mengambil penumpang berdasarkan kapasiti tempat duduk kenderaan bagi semua Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 16 Oktober 2021.

2) Pengurangan Tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi pengembara dari luar negara berkuatkuasa pada Isnin, 18 Oktober 2021.

i - Tempoh kuarantin 7 hari di rumah (jika sesuai) atau stesen kuarantin bagi pengembara dengan vaksinasi lengkap,

ii - Tempoh kuarantin 10 hari di stesen kuarantin bagi pengembara tiada/tidak lengkap vaksin.

3) Pengurangan Tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Rapat juga berkuatkuasa pada Isnin, 18 Oktober 2021.

i - Tempoh kuarantin 7 hari di rumah bagi mereka yang lengkap divaksin

ii - Tempoh kuarantin 10 hari di rumah bagi mereka yang tiada/tidak lengkap divaksin.

4) Pembukaan Perkhidmatan Pusat Siber dan Kafe Siber dipersetujui dengan penyelarasan kapasiti seperti berikut berkuatkuasa 17 Oktober 2021:

i - 80 peratus kapasiti bagi Fasa 3 dan;

ii - 100 peratus kapasiti bagi Fasa 4.

5) Jemaah dibenarkan mengerjakan umrah selaras dengan keputusan memansuhkan keperluan MyTravelPass untuk ke luar negara. Kebenaran ini berkuatkuasa 18 Oktober 2021.

6) Meeting, Incentives, Conventions and Exhibitions (MICE) dibenarkan di negeri PPN Fasa 3 secara bersemuka, melibatkan individu yang telah lengkap divaksin berkuatkuasa 18 Oktober 2021 dengan syarat-syarat seperti berikut;

i - Melaksanakan ujian saringan COVID-19 (pre-event test) melalui kaedah saliva test atau RTK-Antigen,

ii - Mematuhi penjarakan fizikal

iii - Memakai pelitup muka

iv - Kapasiti 50 peratus mengikut ruang

Dalam pada itu, mesyuarat juga bersetuju untuk melaksanakan program rintis protokol test and release (T&R) dengan syarat perjalanan atau itinery yang ketat dan terhad bagi lawatan rasmi kepada kumpulan pengembara yang dikenalpasti.

Kumpulan pengembara tersebut termasuklah pembesar negara, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri, exco kerajaan negeri, ahli-ahli Parlimen dan pegawai-pegawai kerajaan.

Pelaksanaan program rintis ini akan berkuatkuasa 18 Oktober 2021 dan akan diperluaskan kepada pengembara perniagaan (business travellers) dalam waktu terdekat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain